73 Peratus Daripada 4,154 Pelajar Baru UKM Adalah Wanita
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman
BANGI, 1 September 2014 – Seramai 4,154 pelajar baru telah mendaftar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi sesi akademik 2014-2015 di kampus utamanya di sini hari ini. Tujuh puluh tiga peratus daripada mereka adalah pelajar wanita.
Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata mereka telah mendaftar untuk mengikuti 75 program yang ditawarkan oleh 13 fakulti, sembilan di kampus utama di Bangi dan empat di kampus Kuala Lumpur.
Prof Noor Azlan memberitahu satu sidang akhbar di Kolej Kediaman Keris MAS selepas menemui pelajar-pelajar baru itu di beberapa kolej kediaman bahawa 51 daripada program itu adalah program ijazah sains, manakala 24 adalah untuk kursus ijazah dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.
Seperti pengambilan lepas, kemasukan ke UKM adalah berdasarkan pemilihan mengikut prestasi, kelayakan dan merit pemohon.
Semua pelajar baru dikehendaki menghadiri taklimat fakulti serta menyertai program suaikenal Minggu Mesra Mahasiswa (3M) selama seminggu hingga 6 September ini. Ia dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA).
Prof Noor Azlan berkata UKM berharap program itu akan mendorong pelajar menggunakan masa pengajian mereka selama tiga atau empat tahun sebagai tempoh untuk mengenali dan mencari kekuatan diri mereka untuk menjadi rakyat yang berguna.
HEPA berkata objektif utama program itu adalah untuk membolehkan pelajar baru mendaftar untuk mendapatkan kad matrik mahasiswa mereka selain mengenali UKM dengan lebih mendalam serta menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru.
Program itu dikendalikan oleh sekumpulan fasilitator pelajar dan dibimbing oleh fakulti masing-masing bersama keluarga selepas menerima kunci bilik mereka.
Ia membolehkan ibu bapa yang mengiringi mereka menemui dekan, timbalan dekan dan ahli fakulti terutama pensyarah mereka.
Pelajar juga akan dimaklumkan bagaimana UKM menghasilkan graduan yang berdaya saing dan kompeten untuk berkhidmat kepada negara.