Mengekalkan Warisan Budaya Dan Identiti ASEAN Dalam Arus Pemodenan
Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Shahiddan Saidi dan Ikhwan Hashim
BANGI, 8 September 2014 – Warisan budaya adalah intipati penting sesebuah negara dan rakyatnya. ASEAN sebagai suatu kumpulan negara perlu memupuk rakyatnya berusaha mewujudkan gabungan sebagai suatu komuniti dengan identitinya sendiri.
Presiden Pengasas Institut untuk Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Tunku Zain Al-Ábidin ibni Tuanku Muhriz percaya kewujudan warisan budaya yang kaya dari pelbagai negara ASEAN perlu dipupuk dan dihargai.
Beliau menyokong pembangunan ke arah Komuniti ASEAN yang mempunyai identiti ASEAN yang kukuh hingga boleh memupuk hubungan antara budaya.
Berucap pada Program Sukarelawan Belia ASEAN (AYVP) yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tahun ini beliau memberi tumpuan kepada objektif memulihara warisan negara dan rakyatnya serta peranan masyarakat sivil ASEAN untuk bergerak ke arah satu Komuniti ASEAN menjelang 2015.
Program tahun ini, berlangsung selama lima minggu dan akan berakhir pada hari Isnin 15 September ini. Fokus tahun ini adalah membolehkan peserta memperolehi pengetahuan dan memahami ASEAN dari segi budaya, nilai, identiti serantau dan pembangunan sosio budaya komuniti ASEAN.
Menyedari negara-negara ASEAN mempunyai warisan budaya yang amat kaya, Tunku Zain Al-Abidin percaya kepelbagaian budaya yang wujud dalam setiap negara ASEAN harus diiktiraf dan dipupuk.
Beliau percaya budaya pelbagai yang wujud di ASEAN bukan sahaja akan memperbaiki hubungan antara kaum di dalam setiap negara, ia juga akan membantu ke arah memupuk hubungan yang lebih erat antara negara ahli.
Warisan budaya adalah cara hidup yang dibangunkan oleh masyarakat dan diwarisi dari generasi ke generasi. Sebagai sebahagian daripada aktiviti manusia, warisanlah yang menentukan kehidupan seharian.
Beliau menghuraikan terdapat tiga jenis warisan budaya fizikal iaitu alam sekitar, alam semula jadi dan artifak. Manakala cerita rakyat, bahasa, nilai, puisi dan sejarah lisan adalah sebahagian daripada aspek peninggalan budaya bukan fizikal.
Kekayaan budaya dan sejarah yang dikongsi oleh semua negara ASEAN – Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Vietnam, Thailand, Filipina, Laos, Myanmar dan Kemboja – perlu menjadi pengikat antara negara-negara itu.
Tunku Zain Al-Abidin percaya komuniti ASEAN yang kuat, saling menyokong antara satu sama lain, hormat-menghormati dan berfikiran jauh boleh membawa kepada jalinan perpaduan yang kukuh di kalangan negara-negara ASEAN.
Ia seharusnya menjadi matlamat belia hari ini kerana sebagai pemimpin masa depan, merekalah yang akan menentukan bagaimana ASEAN akan bergerak pada tahun-tahun akan datang.
“Kejayaan sebenar ASEAN bergantung kepada rakyatnya dan kesukarelaan adalah nilai terbaik yang mewakili masyarakat sivil ASEAN,” kata Tunku Zain Al-Abidin.
Masa depan ASEAN, katanya, berada dalam tangan golongan muda hari ini dan mereka mesti berupaya untuk menjadi pemimpin berhemah pada masa depan untuk memimpin, melindungi dan meneruskan budaya, bahasa serta warisan negara masing-masing.
Seramai 50 orang pelajar dari seluruh ASEAN telah dipilih untuk mengambil bahagian dalam program lima minggu yang berlangsung di UKM.
Beliau juga telah menyorot kepada bagaimana identiti etnik telah dipolitikkan untuk kepentingan peribadi sesetengah ahli politik hingga menjadikannya topik yang sensitif di kebanyakan negara ASEAN sejak kebelakangan ini.
Tunku Zain Al Ábidin berkata rakyat perlu tahu bahawa tiada salahnya dalam meraikan semua aspek identiti mereka. Walaupun dari segi fakta bahawa anda dari satu etnik tertentu, tetapi boleh juga bergembira dan dapat menerima anda sebagai satu komuniti ASEAN.
Demokrasi moden setiap negara ASEAN tidak bermakna penghapusan atau pemusnahan warisan sejarah atau budaya, tambah beliau.
“Sejarah dan budaya yang menjadikan negara kita unik. Nilai dan tradisi masa lalu telah membantu membina negara dan masyarakat ASEAN pada hari ini. Jangan sekali-kali lupa sejarah anda kerana untuk membina masa depan yang lebih baik dan lebih cerah, anda mesti mempelajari dan menghargai sejarah negara anda.
“Anda adalah pemimpin masa depan, tetapi jangan sesekali lupakan pemimpin masa lalu kerana kekuatan dan pengorbanan mereka adalah tonggak di mana negara kita dibina,” kata Tunku Zain Al-Abidin.
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill yang juga Pengarah Eksekutif AYVP@AsiaEngage, menghadiri acara itu.
Beliau berkata perjalanan pelajar melalui program AYVP adalah untuk mengembangkan pengetahuan mereka dalam pelbagai disiplin untuk memupuk mereka lebih berdisiplin, bertanggungjawab dan komited.
Ini juga menguji kebolehan mereka bekerja dalam satu pasukan, memahami keperluan orang lain, menghormati budaya yang berbeza dan memperkasakan komuniti mereka, kata Prof Saran Kaur.