Panduan Bagaimana Artikel Dapat Diterima Untuk Terbitan
Foto Muhamad Ikhwan Zulhimi dan Nur Farhana Othman (Pelajar Pelatih UiTM)
BANGI, 28 Ogos 2014 – Ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini diberi tunjuk ajar bagaimana hendak menghasilkan makalah atau artikel yang dapat diterima untuk diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi.
Dua orang penerbit dari Elsevier, Dr Valerie Teng-Broug, penerbit jurnal dan Elise Shen, pakar runding untuk Elsevier Singapura telah menghuraikan beberapa kaedah serta ciri-ciri yang boleh membantu sesuatu artikel dapat diterima untuk terbitan.
Mereka telah memberi ceramah di Bengkel Penerbitan UKM 2014 bertajuk “Bagaimana Hendak Menulis Kertas Penyelidikan Yang Boleh Diterima Oleh Jurnal Berimpak Tinggi ” anjuran Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL) dan Elsevier.
Peserta telah diberi tunjuk ajar bagaimana artikel mereka dapat diterima untuk diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar telah merasmikan bengkel itu yang berlangsung di Kompleks Tun Abdullah Mohd Salleh di sini.
Elsevier adalah sebuah syarikat pembekal penyelesaian maklumat terkemuka di dunia untuk meningkatkan prestasi ahli sains, kesihatan dan teknologi melalui penemuan yang meningkatkan pengetahuan dan kemajuan manusia.
Ia juga menyediakan penyelesaian digital antaranya ScienceDirect, Scopus, Perisikan Penyelidikan Elsevier dan ClinicalKey. Ia menerbitkan hampir 2,200 jurnal, termasuk The Lancet dan Cell dan lebih daripada 25,000 judul buku, termasuk beberapa rujukan terkemuka.
Dr Valarie berkata sesuatu artikel untuk diterima harus mempunyai abstrak yang baik, mengguna bahasa yang betul dan dikirim pula kepada jurnal yang betul.
Beliau mengingatkan bahawa mereka yang mengirim artikel untuk terbitan akan bersaing dengan 1.4 juta artikel lain untuk dipilih. Ramai penulis kali pertama menghadapi kesukaran untuk artikel mereka dibaca atau dilihat walaupun sekali imbas oleh seseorang editor untuk dipilih bagi penerbitan.
Penulis kali pertama sering membuat kesilapan memilih hanya jurnal berimpak untuk mengirim artikel mereka. Itu adalah halangan pertama, kata Dr Valerie.
Jurnal ternama, katanya, menerima beribu-ribu artikel setiap tahun di mana 99 peratus daripadanya ditolak.
Abstrak sesebuah artikel juga amat penting dan penulis perlu mengambil masa untuk menulis abstrak yang bukan sahaja jelas tetapi ringkas dan memberi gambaran yang jelas mengenai kandungan sesuatu artikel.
Bahagian pengenalan dan kesimpulan artikel juga harus kuat untuk memberikan justifikasi kepadanya. Penggunaan graf dan carta digalakkan untuk menggantikan kata-kata kerana imej atau gambar boleh menyampaikan mesej yang lebih baik daripada beberapa perenggan kata-kata.
Jangan guna ayat-ayat panjang dan berfalsafah. Gunakan bahasa ringkas dan mudah, tambah Dr Valerie. Beliau juga mengingatkan terma sains dan teknikal perlu digunakan dengan teliti dan jelas. Ini adalah untuk memastikan editor dan pembaca boleh memahami apa yang ditulis.
“Anda bukan menulis sastera atau sebuah puisi. Oleh itu jangan menggunakan perkataan berbunga-bunga dan ayat yang panjang. Ini tidak akan menjadi masalah walaupun Bahasa Inggeris bukan bahasa utama penulis. Kiranya sebuah artikel adalah untuk jurnal saintifik, teknikal atau perubatan, bahasa Inggeris yang digunakan hendaklah mudah dan senang difahami, tambah Dr Valerie.
Cik Elise mengesahkan bahawa bahasa adalah masalah utama yang dihadapi oleh editor. Hanya bahasa yang jelas dan betul harus digunakan dan satu ayat sepatutnya mengandungi satu idea sahaja. Bahasa Inggeris yang digunakan mestilah juga yang boleh difahami dan struktur ayatnya juga hendaklah yang betul.
Penulis juga tidak harus menghantar artikel yang mempunyai tatabahasa Inggeris yang jelek kerana Editor akan terus menolaknya.
Kesilapan tatabahasa biasanya tidak dibaiki oleh editor. Ini adalah kerana sesetengah perkataan dalam journal adalah bahasa teknikal dan terma saintifik yang hanya mereka yang pakar dalam bidang itu akan fahami.
Sebagai editor mereka bukannya pakar dalam bidang saintifik dan untuk membetulkannya tanpa mengetahui maksud sebenarnya mungkin akan mengubah maksud dan mesej yang hendak disampaikan. Maka itu mereka tidak akan mengusiknya, kata Cik Elise.
Satu lagi kesilapan yang penulis tidak harus lakukan adalah memberi terlalu banyak rujukan. Demikian juga penulis perlu hindar dari memberi rujukan kepada karyanya sendiri yang pernah terbitkan.
Editor dan rakan-rakan penulis tidak akan memberi pandangan serius kepada mereka yang sering memberikan rujukan kepada artikel sendiri, kata Cik Elise.