Pasukan Kolej Rahim Kajai Menangi Debat Minggu Mesra Pelajar
Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim dan Izwan Azman
BANGI, 4 September 2014 – Pasukan Kolej Kediaman Rahim Kajai (KRK) menjuarai Pertandingan Debat Piala Naib Canselor mengalahkan pasukan Kolej Kediaman Tun Dr Ismail (KTDI) dari kampus Kuala Lumpur di acara kemuncak Minggu Mesra Pelajar malam tadi.
Berdebat atas tajuk “Wanita Malaysia Masih Belum Merdeka” mereka terdiri daripada Muhammad Fikri bin Isnin dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), yang juga dinamakan Pendebat Terbaik, Siti Nur Fatihah binti Radzi dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) serta Eric Abdul Rasyid bin Kamarulzaman dan Luqman Nurhakim kedua-duanya dari FSSK.
Mereka membawa pulang Piala Naib Canselor, trofi individu dan sijil penyertaan.
Tajuk debat itu dianggap berkontroversi tetapi amat relevan sekarang kerana keadaan di mana perbedaan jantina masih berlaku dan berterusan dibincangkan dalam media.
Pasukan KTDI di wakili Nabilah bt Tagor Hasibuan, Svgashi A/P Rajaratnam dan Kamaruzaman bin Hamdon. Mereka juga menerima trofi serta sijil penyertaan.
Tiga orang pelajar Nabilah bt Tagor Hasibuan dari KTDI, Siti Nurfatin Izzati bt Ahmad Izahan dari KKM dan Muhammad Taufiq bin Abd Rahman KPZ telah menerima hadiah sebagai pendebat harapan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal telah menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Sementara itu Nadiah bt Radzali dari Kolej Kediaman Ungku Omar (KUO) telah memenangi Pertandingan Pidato dengan menewaskan Nur Najihah Shamimi bt Ahmad dari KKM dan Muhammad Azrul Haziq dari KPZ pada pusingan akhir.