Pengasas UKM Diiktiraf Sebagai Tokoh Akademik Negara
Oleh Shahfizal Musa
Foto Ikhwan Hashim
PUTRAJAYA, 2 September 2014 – Naib Canselor Pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr Mohd Rashdan Baba hari ini dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara.
Prof Rashdan bersama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Abdullah Ayub, Tun Syed Nasir Ismail dan Dr Agoes Salim adalah pengasas UKM.
Prof Rashdan pada 1969 diamanahkan untuk mengerakkan hasrat rakyat Malaysia mempunyai sebuah universiti yang memartabatkan bahasa Melayu.
Beliau telah dilantik menerajui universiti baru itu sebagai Naib Canselornya yang pertama pada September 1969. Sebagai Naib Canselor impiannya adalah untuk menjadikan bahasa Melayu bukan sahaja sebagai bahasa pengantar di peringkat pengajian tinggi tetapi menjadi suatu bahasa ilmu.
Hasratnya adalah untuk melihat UKM menjadi sebuah universiti bertaraf antarabangsa.
Bagaimanapun waktu ia mula ditubuhkan, UKM dilihat sebagai universiti kelas dua hanya kerana menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya.
Prof Rashdan waktu itu juga menghadapi cabaran ketara untuk mendapatkan tenaga pengajar kerana tidak ramai professor dan pensyarah kanan mahu menyertai UKM.
Beliau telah menyelesaikan masalah itu dengan menyediakan biasiswa kepada tenaga pengajarnya melanjutkan pengajian mereka selain mengambil tenaga pengajar dari beberapa buah universiti terkemuka Indonesia.
Hari ini UKM mempunyai lebih daripada 270 orang professor dan kini menerima ramai professor pelawat termasuk beberapa orang pemenang anugerah Nobel dari seluruh dunia.
Usaha Prof Rashdan tanpa mengenal penat lelah telah dapat menjadikan UKM sebuah universiti yang berjaya dan disegani.
Beliau berjaya meletakkan asas kukuh dan teguh untuk menjadikan UKM sebuah universiti ternama di dunia disamping memartabatkan bahasa Melayu.
Pada 1971 Prof Rashdan telah dilantik pula untuk menerajui Universiti Pertanian kini Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dinaik taraf dari Kolej Pertanian.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.