Sastera Melayu Asli Dibunuh Penjajah
Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 11 September 2014 – Sastera tradisional Melayu yang bersifat membina jati diri telah pupus akibat agenda tersembunyi kuasa penjajah, kata seorang pakar sastera Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Noriah Taslim hari ini.
Prof Noriah, Felo Penyelidik Kanan di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) mendedahkan bagaimana penjajah telah menghapuskan sastera tradisional Melayu kerana ia merupakan perhubungan bangsa itu dengan kekuatannya iaitu Islam.
Ini dilakukan oleh tali barut kuasa Barat pada suatu masa dahulu yang kini terus diagungkan sedangkan secara sedar atau tidak mereka inilah yang turut bertanggungjawab membunuh sastera Melayu.
Prof Noriah telah memberi ceramah bertajuk ‘Persona Eropah Di Dunia Melayu’ di ATMA hari ini. Ceramahnya itu tertumpu kepada bagaimana British menyisihkan manuskrip Melayu traditional dalam abad ke-18 dan 19 hasil dari penyelidikannya.
Usaha itu dilakukan semata-mata untuk melahirkan generasi yang memuja Barat dan Eropah di samping memadamkan identiti Melayu sebenar yang mempunyai budaya sejarah yang kaya.
Akibatnya Eropah diagungkan kerana dapat mendominasi separuh dunia dan Timur merasa rendah diri dan tidak berkeyakinan kerana telah dijajah.
Pihak Eropah berjaya merendahkan kebolehan dan tamadun Melayu melalui cerdik pandai mereka yang mempersenda dan mencemuhkan sastera Melayu lama sebagai bahan yang tidak mempunyai seni dan bersifat dongeng.
Ini membuatkan orang Melayu menjadi malu dan menjauhkan diri dari sastera mereka hingga membantutkan perkembangan sastera itu. Sastera Melayu yang berkembang selepas kedatangan Islam ditohmah tidak mempunyai nilai kesusteraan dan seni
Tokoh Barat itu kemudian berdamping dengan penulis-penulis Melayu, yang kagum dengan penjajah.
Beliau memberi contoh Thomson North, Keasberry dan Stanford Raffles dengan Abdullah Munsyi, Robert Scott dengan Ahmad Rijaludin dan Butter Hunnings dengan Lau’din.
Penguasa-penguasa Barat telah menggalak dan menyokong penulisan yang berasaskan model karya Eropah.
Dengan itu kesusasteraan Melayu tradisional yang membina jati diri Melayu dan menjulang sifat baik hati, berdikari, bersopan, berperasaan kasih sayang, mendukung keadilan, bertoleransi dan keramahan digantikan dengan genre yang mengagungkan orang Eropah, untuk kebaikan orang Eropah dengan naratif yang diasaskan kepada individu dan tidak lagi kepada masyarakat.
Mereka berjaya apabila tulisan jawi dikuburkan dengan skrip itu diubah kepada tulisan rumi. Hujah mereka ialah tulisan Jawi cacat kerana kekurangan vokal.
Agenda tersembunyinya adalah untuk melemahkan identiti Islam dengan orang Melayu yang menjadi tunggak kekuatan mereka.
Prof Noriah berkata penghapusan tulisan jawi telah menghilangkan ikatan yang kukuh di antara identiti Melayu dengan Islam dan hubungan mereka dengan dunia Islam.
Ia juga tidak terkecuali melemahkan hubungan di antara orang Melayu dengan orang Arab. Tulisan yang menghasut orang Melayu agar jangan mendengar dan mendekati orang Arab seperti Hikayat Hikamat dan Hikayat Kapal Asap pula diagungkan.
Ironinya, manuskrip tradisional sastera Melayu yang telah diejek oleh mereka, dipunggut dari serata pelosok negara dan di angkut berkapal-kapal ke England.
Sehinggakan sekarang jika seseorang mahu mengkaji sastera Melayu tradisional dia perlu pergi ke Pejabat Rekod Awam di Kew Gardens London.
Turut hadir di sesi syarahan itu Felo Penyelidik Utama ATMA, Prof Dato’ Zawiyah Baba dan Prof Ding Choo Ming.
Prof Ding ketika diminta pandangannya selesai ceramah itu berkata kita masih dijajah hingga ke hari ini.
Dari segi akademik, para cendiakawan tempatan perlu menerbitkan hasil kajian mereka dalam journal barat seperti Scorpus dan ISI kalau mahu mendapat pengitirafan walaupun daripada universiti sendiri.
Beliau berkata dua dekad yang lepas terdapat lebih dari 200 jurnal berbahasa Melayu diterbitkan tetapi hari ini akibat penjajahan minda jumlah jurnal tempatan boleh dikira dengan jari tangan sahaja.
Rencana pertama yang diterbitkan oleh Portal Berita UKM, ketika ia mula beroperasi adalah keagungan ciptaan inovasi Aljazari pencipta Muslim di Turki yang telah pun memberi khidmat lebih 200 tahun sebelum Leornado Da Vinci dilahirkan.
Ciptaan Aljazari dalam bidang kejuruteraan dan kuasa hidro untuk membawa air dari sungai ke tanah tinggi semasa kuasa letrik belum ditemui telah melangkaui zamannya.
Aljazari tidak pernah pun menerbitkan artikel dalam jurnal barat dan tidak mempunyai satu paten pun tetapi ciptaannya masih memberi manfaat kepada manusia sejagat dari kurun ke 12 hingga ke hari ini.