Semua PTJ Perlukan Penjenamaan Semula
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 10 September 2014 – Semua Pusat Tanggung Jawab (PTJ) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pelbagai jabatannya perlu penjenamaan semula supaya boleh berinovasi serta menghadapi perubahan.
Ini akan menentukan mereka dapat bersaing dengan lebih berkesan, kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali ketika melancarkan bengkel pertama mengenai Perancangan Pembangunan Kompetensi Pentadbir Akademiknya di sini hari ini.
Beliau berkata penilaian prestasi secara berterusan perlu dilakukan supaya penalaan dapat dilakukan sendiri sambil menerangkan pentadbir mesti bersedia untuk berubah dan menjadi pencipta.
“Anda adalah pemimpin hanya jika anda membawa perubahan. Mereka yang tidak sanggup berubah tetapi berterusan hanya mahu mengekalkan keadaan sedia ada, adalah pengurus sahaja bukannya pemimpin,” katanya kepada dekan dan timbalan dekan fakulti, pengarah dan timbalan pengarah pusat dan institut di UKM yang menyertai bengkel itu.
Bengkel satu hari itu dikendalikan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Profesional dan Kepimpinan Profesor Madya Dr Rohayu Abdul Ghani.
Prof Noor Azlan berharap bengkel itu dapat mengenal pasti bidang-bidang yang perlu dijenamakan semula sambil mengakui ia tidak mudah kerana pengurusan sebuah universiti memerlukan kematangan dan ia adalah rumit.
“Dalam semua organisasi kita perlu memberi ruang untuk menguji kaji. Ini akan diletakkan di mana semua keupayaan akan meningkat dan dibincangkan. Kita perlu mewujudkan platform untuk berkongsi, ” katanya.
Beberapa ciri keupayaan yang tersurat dan tersirat termasuk rundingan, membina hubungan, mendapatkan apa yang dikehendaki dan bagaimana untuk mendapatkan pembiayaan untuk penyelidikan perlu wujud di kalangan mereka.
Dr Rohayu, dalam taklimatnya berkata kemahiran tersirat bukanlah sesuatu yang dapat diperolehi secara formal, tetapi melalui pengalaman. Cabarannya ialah pengetahuan tersirat tidak boleh di baca atau dikaji dari buku tetapi mereka perlu mahir menggunakannya.
Beliau berkata mereka juga harus mampu melaksanakan apa yang tersirat itu dan boleh pula menyampaikan pengetahuan itu kepada barisan kedua pimpinan.
Peserta bengkel telah membentuk pasukan dan mereka dikehendaki mencari jalan untuk mengukur kecekapan dengan setiap pasukan membentangkan kesimpulan mereka untuk dibincangkan.