UKM Dan Universitas Islam Indonesia Bekerjasama Dalam Penyelidikan Dan Penerbitan
Foto Saiful Bahri Kamaruddin
BANDA ACEH, INDONESIA 28 Ogos 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universitas Islam Negeri Ar-Raniry (UIN Ar-Raniry) akan bekerjasama dalam pelbagai bidang pengajian tinggi termasuk penyelidikan dan pertukaran pelajar.
Institut Islam Hadhari UKM hari ini memetrai memoradum persefahaman (MoU) dengan UIN dalam bidang pengajaran, penerbitan dan pertukaran pelajar serta program pengabdian masyarakat pada upacara konvokesyen sesi 2013-2014 universiti itu di Auditorium Ali Hasjmy Banda Aceh.
Ia ditandatangani oleh Pengarah Institut Islam Hadhari UKM Profesor Dato Dr Mohd Yusof Hj Otman yang mewakili Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan Rektor UIN Prof Dr H Farid Wajdi Ibrahim MA. Timbalan Pengarah Hadhari Prof Datin Paduka Dr Jawiah Dakir menyaksikannya bagi pihak UKM.
Prof Mohd Yusof berkata kedua-dua universiti itu telah pun bekerjasama sebelum ini dalam bidang penyelidikan dan pertukaran pasca siswazah. MoU itu akan meluaskan lagi kerjasama mereka dalam bidang-bidang lain.
Ia termasuk pertukaran pelajar di antara kedua-dua kampus, pertukaran ahli akademik serta tenaga pengajar, pertukaran penerbitan bahan akademik yang telah dipersetujui oleh perpustakaan fakulti masing-masing, kerjasama penyelidikan yang boleh diterbitkan dalam bentuk karya ilmiah serta kerjasama lain yang dapat meningkatkan kualiti kampus masing-masing.
Timbalan Rektor III (Kerjasama Kemahasiswaan) UIN, Dr H Syamsul Rijal M.Ag menyifatkan kerjasama dengan UKM sebagai suatu usaha untuk mengembangkan pendidikan pada masa datang .
Ia termasuk melakukan kerjasama dengan pihak luar, baik universiti atau badan-badan terkemuka lain. “Kegiatan seperti ini dilaksanakan secara bertahap dan akan terus dilakukan di masa akan datang,” kata Syamsul Rijal.
Upacara menandatangani MoU itu diikuti acara konvokesyen di mana seramai 620 siswazah UIN menerima ijazah masing-masing terdiri dari seorang ijazah kedoktoran falsafah, 78 sarjana dan 541 ijazah sarjana muda.