Teknologi Tanpa Wayar Melalui Dron Bantu Peladang Pantau Ternakan Haiwan Peliharaan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 4 Julai 2019 – Para peladang kini tidak lagi perlu risau tentang tahap kesihatan ternakan mereka kerana mereka boleh memantau hasil ternakan itu dari jauh hanya menggunakan dron dan teknologi rangkaian tanpa wayar terkini, iaitu LoRa (Long Range).

Teknologi LoRa adalah inovasi dan penyelidikan yang dijalankan oleh Prof Madya Ir Dr Rosdiadee Nordin dari Pusat Kejuruteraan Elektronik dan Komunikasi Termaju (PAKET), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB). Teknologi LoRa dibangunkan khusus untuk membenarkan komunikasi antara penderia (sensor) pada jarak sejauh 20 kilometer (km).

“Tujuan projek ini adalah bagi membenarkan automasi penternakan haiwan di ladang berasaskan Internet of Things. Pada masa kini, kebanyakkan peladang memantau haiwan ternakan mereka melalui kaedah manual yang sudah terbukti tidak cekap dan melibatkan kos operasi yang begitu tinggi.

“Dengan adanya Internet of Things untuk penternakan, ia bakal memudahkan kerja automasi untuk peladang dan memahami bagaimana keadaan haiwan mereka di ladang,” katanya.

Beliau berkata, untuk projek itu, apa yang dibuat ialah dron yang dilengkapi dengan lawang (gateway) teknologi tanpa wayar (LoRa) untuk mengumpul data daripada penderia yang di pasang pada haiwan dan penderia kualiti air di beberapa sumber air sekitar kawasan ladang.

“Daripada sensor yang kita pasang pada haiwan dan sumber air tersebut, ia akan dipancarkan kepada teknologi tanpa wayar yang akan dikumpulkan oleh dron dan dron akan menghantar data daripada haiwan tersebut kepada peladang melalui web yang boleh dicapai melalui pelbagai peranti pintar,” terangnya.

Prof Madya Ir Dr Rosdiadee menjelaskan, bahawa dengan gabungan teknologi LoRa dan dron, ia bakal membantu peladang pada masa akan datang dan peladang tidak perlu lagi meluangkan masa untuk melakukan rondaan di sekitar kawasan ladang bagi memantau haiwan-haiwan ternakan.

“Malahan, peladang boleh mendapat maklum balas lebih cepat mengenai keadaan haiwan ternakan jika berlaku kecederaan atau sakit melalui penderia yang dipasang di leher haiwan tersebut.

“Peladang juga boleh mengetahui tahap kualiti air yang dibekalkan kepada haiwan ternakan, seterusnya mampu mengelakkan daripada air yang tercemar diminum oleh haiwan ternakan. Air yang kotor dan tercemar bakal merencatkan pembesaran dan kesihatan haiwan,” jelasnya.

Beliau yang menjalankan projek tersebut bersama pelajar Sarjana di bawah seliaannya, Aishah Mohd Noh telah mendapat sumbangan teknikal dan khidmat industri daripada Aerodyne Group, iaitu sebuah syarikat penyedia penyelesaian terurus berasaskan dron antarabangsa berpengkalan di Malaysia.

Sebagai permulaan, kos untuk sebuah dron industri berprestasi tinggi adalah begitu mahal dan projek itu memerlukan juruterbang berpengalaman untuk mengawal sesebuah dron. Melalui Aerodyne, projek tersebut mampu menjalankan ujikaji berdasarkan pelbagai jenis dron yang dikawal oleh juruterbang daripada Aerodyne.

“Kami telah menjalankan ujian lapangan sebanyak tiga kali untuk menguji prestasi liputan rangkaian LoRa, iaitu dua kali di dalam kampus UKM dan sekali di Precent 20, Putrajaya. Ujian lapangan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menambah baik fungsi-fungsi dan juga prestasi dron dan rangkaian LoRa tersebut,” jelasnya.

Katanya, melalui rakan industri, fasa seterusnya adalah melibatkan pengkomersilan setelah ujikaji dan juga prestasi dron serta rangkaian tanpa wayar didapati dalam keadaan matang dan bersedia. Projek tersebut sudah hampir 70 peratus siap.

“Untuk haiwan ternakan, peladang perlukan maklumat mengenai tahap kesihatan haiwan tersebut sama ada sakit, normal, mengandung atau sedang tidur. Jika haiwan ternakan jatuh sakit, peladang tak ada maklumat ni (tahap kesihatan) unless peladang pergi tengok lembu itu sendiri dan nampak lembu tu sedang sakit.

“Dengan GPS dan accelerometer di pasang pada lembu, ia boleh beritahu lokasi lembu tersebut dan accelerometer akan beritahu tahap kecergasan lembu tersebut. Daripada maklumat ni dan dengan software yang peladang tu dapat, dia akan pergi ke lokasi lembu tersebut dan akan melihat sendiri keadaan lembu itu. Inovasi ini dapat membantu penternak mengetahui lebih awal jika ternakan mereka sakit,” katanya.

Accelerometer adalah peranti elektromekanikal yang digunakan untuk mengukur daya pecutan. Accelerometer juga boleh di dapati pada telefon dan jam pintar pada masa kini untuk mengesan tahap kecergasan pengguna melalui aktiviti harian mereka, sama ada berlari, berjalan mahupun duduk untuk tempoh yang lama.  Konsep yang sama juga diguna pakai untuk projek tersebut bagi memahami tahap kecergasan haiwan ternakan.

Prof Madya Ir. Dr. Rosdiadee berharap, projek itu akan dapat membantu dan berguna kepada penternak dan peladang pada masa akan datang agar ia dapat mengautomasi dan memudahkan operasi peladang terutamanya untuk ladang haiwan yang besar.

Para peladang yang berminat dengan teknologi LoRa boleh berhubung dengan Prof Madya Ir. Dr. Rosdiadee melalui e-mel adee@ukm.edu.my.