Majlis Menandatangani MoA antara UKM & IESB Bagi Projek Realiti Maya Latihan Pembedahan Katarak

Pada 17 Ogos 2018 yang lalu, satu majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) & Integrasi Erat Sdn Bhd (IESB) bagi pembangunan modul latihan pembedahan katarak menggunakan teknologi realiti maya (VR) telah diadakan di Sukmaria, HCTM PPUKM.

UKM diwakili oleh YBhg. Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof. Datuk Dr. A. Rahman A. Jamal dan Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy telah menyempurnakan majlis tandatangan MoA tersebut bersama Pengarah Urusan syarikat Integrasi Erat Sdn Bhd, Tuan Hj Zulkifli Mohamed & Pengarah Eksekutif, En. Ismawira Mohd Ismail.

Projek pembangunan modul latihan pembedahan katarak melalui teknologi realiti maya ini diketuai oleh Pakar Oftalmologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Dr Mushawiahti Mustapha, bekerjasama dengan ahli kumpulan penyelidikannya dari Jabatan Oftalmologi, Institut Visual Informatik UKM dan juga IESB. Projek ini mendapat suntikan dana dari Geran Universiti Penyelidikan (GUP) UKM selama 2 tahun.

Diharapkan kerjasama ini akan membuka ruang kolaborasi yang lebih luas dan dapat diperluaskan ke Jabatan yang lain di Fakulti Perubatan.