Bengkel Penulisan Artikel Jabatan Oftalmologi 2023

Jabatan Oftalmologi UKM dengan kerjasama Persatuan Kumpulan Penyelidikan Oftalmologi UKM menganjurkan Bengkel Penulisan Artikel bagi tahun 2023 yang telah diadakan pada 16 Jun 2023, hari Jumaat bertempat di Dewan Peperiksaan Aras 2, Blok Praklinikal, Fakulti Perubatan UKM. Bengkel ini dijalankan sepenuh hari bermula dari pendaftaran peserta pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Sehubungan dengan itu, bengkel ini telah disertai oleh semua pensyarah jabatan dan pelajar sarjana Oftalmologi tahun 2,3 dan 4.

Pada bengkel kali ini, kami telah menjemput tiga orang penceramah untuk perkongsian di sesi pagi. Penceramah pertama iaitu En. Mohd Hairul Nizam Harun memulakan perkongsiannya yang bertajuk Help! Which Journal Should I Choose?. Beliau merupakan pegawai penyelidik di Jabatan Oftalmologi UKM Cheras yang mengetahui perkara-perkara penting mengenai pemilihan jurnal yang terbaik. Seterusnya, penceramah kedua iaitu Dr. Muhammad Irfan Bin Abdul Jalal menyampaikan perkongsiannya yang bertajuk “How Do I Present My Statistics & Result In My Manuscript”. Beliau merupakan pensyarah perubatan dan research fellow di UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI). Penceramah terakhir yang memberi perkongsian ialah Professor Dr. Mae-Lynn Catherine Bastion dengan perkongsiannya yang bertajuk “What Do I Look for In a Paper” – From A Reviewer’s Perspective. Beliau merupakan pensyarah pakar oftalmologi dan juga merupakan salah seorang reviewer jurnal.

Setelah selesai ketiga-tiga perkongsian tersebut, sesi soal jawab bersama penceramah dibuka. Selepas sesi soal jawab berlaku, sesi penyampaian cenderamata dan penghargaan pula berlangsung yang disampaikan oleh Dr. Othmaliza selaku Ketua Jabatan Oftalmologi. Selepas waktu rehat, sesi perbincangan berkumpulan bersama fasilitator bermula. Fasilitator terdiri daripada pensyarah-pensyarah Jabatan Oftalmologi. Bengkel berakhir pada pukul 5 petang. Akhir kata daripada kami selaku urusetia bengkel kali ini, merakamkan setinggi penghargaan, tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua peserta yang hadir bersama-sama menjayakan bengkel artikel pada tahun ini. Diharapkan bengkel ini akan dapat membantu para peserta dalam menghasilkan jurnal yang berkualiti dan bermutu.