Jabatan Oftalmologi Fakulti Perubatan

 Universiti Kebangsaan Malaysia

Di Sebalik Keindahan Kanta Lekap

Oleh: Dr. Aida Zairani Binti Mohd Zahidin (Pakar Oftalmologi dan Pakar Perunding Kornea)

S: Apakah kanta lekap itu?

J: Kanta lekap (contact lens) merupakan salah satu alat yang digunakan untuk menambah baik tahap penglihatan seseorang individu bagi membantu mereka dalam kebebasan bergerak, bersukan serta menjalankan tugas-tugas dalam kehidupan harian. Ia salah satu pilihan selain menggunakan cermin mata.

 

S: Bagaimanakah pengguna kanta lekap boleh terdedah kepada risiko jangkitan atau masalah penglihatan?

J: Pembelian kanta lengkap seharusnya diperolehi dari pengamal optometris yang berdaftar dengan Majlis Optik Malaysia (MOM). Amalan membeli kanta lekap  di pasar malam, kiosk jualan di pasar raya, jualan individu atas talian dan sebagainya adalah sangat berbahaya. Pengguna terdedah kepada risiko jualan kanta lekap tiruan yang tidak menepati ciri keselamatan kanta lekap yang seharusnya.  Ini mendorong kepada risiko jangkitan kuman atau lebih dikenali sebagai ulser mata. Selain itu amalan berenang dengan kanta lekap adalah satu amalan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan ulser. Penyimpanan kanta lekap di bilik air atau persekitaran yang kotor juga patut dielakkan.

 

S: Bagaimanakah penggunaan kanta lekap yang betul?

J: Penggunaan kanta lekap yang disarankan adalah tidak melebihi 8 jam sehari dan kanta lekap tidak seharusnya dipakai sewaktu sedang tidur dan melakukan aktiviti renang. Selain itu, kanta lekap juga harus dipastikan sentiasa dalam keadaan yang bersih iaitu dengan meletakkannya di dalam bekas yang bersih, solution yang tidak melebihi tarikh luput dan yang paling penting adalah amalan mencuci tangan sebelum memakai kanta lekap. Bekas yang dipakai untuk menyimpan kanta lekap juga sewajarnya ditukar setiap bulan atau maksimum 6 bulan penggunaan untuk mengelakkan risiko terkenanya jangkitan pada kornea.(gambar 1)

Gambar 1: tanda-tanda awal jangkitan / ulser pada kornea adalah mata mejadi merah dan sakit (source: https://2020tulsa.com/2017/01/expired-contact-lens/)

 

S: Apakah jangkitan kornea yang sering terjadi dan gejala-gejalanya?

J: Antaranya adalah jangkitan bakteria pseudomonas di mana bakteria ini merebak dan menyebabkan mata menjadi merah, rasa sakit pada bahagian mata dan pengeluaran kotoran mata yang banyak.(Kuman ini akan menyebabkan penipisan lapisan mata dan boleh menyebabkan kebocoran. Selain itu, jangkitan acanthamoeba juga kerap berlaku di mana tanda awalnya tidak tipikal namun jika tidak dirawat dengan segera ia boleh merebak dan merosakkan seluruh lapisan  kornea sehingga permukaan kornea tidak rata dan terjadinya keadaan yang dikenali sebagai epitheliopathy. Penyakit jangkitan ini agak sukar untuk dirawat dan akan mengambil masa yang lama untuk sembuh. Kesan ulser ini bukan sahaja menyebabkan kebutaan tapi juga kesan kosmetik berpanjangan.(gambar 2)

Gambar 2: Kesan ulser pada mata (source: cybersight.org)

 

S: Jika saya alamai gejala seperti mata sakit, merah, air mata yang berlebihan atau tompokan putih di permukaan mata, apakah tindakan saya yang sewajarnya?

J: Segeralah berjumpa pakar mata dengan membawa ubat-ubatan yang pernah dipakai beserta kanta lekap tersebut bersama solution dan bekas kanta lekap untuk pemeriksaan lanjut. Elakkan juga pengambilan steroid tanpa perskripsi dari doktor pakar kerana bahan ini boleh menjadikan keadaan kornea lebih teruk.