Bengkel Penulisan Geran Penyelidikan Siri 2/2019
Jabatan Oftalmologi PPUKM dengan kerjasama Persatuan Kumpulan Penyelidikan Oftalmologi UKM meneruskan anjuran bengkel penulisan geran penyelidikan dengan sesi kedua bagi tahun 2019. Bengkel geran kali ini telah diadakan pada 1 Mac 2019 di Hotel Marriott Putrajaya, IOI Resort, Serdang. Bengkel yang dijalankan sepenuh hari ini dihadiri oleh semua pensyarah, pensyarah pelatih, pegawai optometri, pegawai penyelidik, dan pembantu penyelidik.
Pada bengkel kali ini, kami telah menjemput dua tetamu khas untuk perkongsian di sesi pagi. Prof Emeritus Datuk Dr Wan Zurinah Wan Ngah, Professor di Jabatan Biokimia, Fakulti Perubatan telah memberi sebuah perkongsian bertajuk “Grant Rejected… What’s next?”. Perkongsian Prof Wan Zurinah adalah berkaitan cara- cara menghadapi geran yang ditolak dan strategi untuk langkah seterusnya. Sebuah lagi perkongsian oleh Prof. Dr. Norfilza Mohd Mokhtar dari Jabatan Fisiologi yang bertajuk “How to start research collaboration and securing industrial sponsors: Do’s and Don’ts”. Dr Norfilza berkongsi bagaimana pasukan penyelidikan dari UKM berjaya bekerjasama dengan sebuah syarikat pembekal minuman berkhasiat.
Usai dua buah perkongsian oleh kedua jemputan, bengkel diteruskan dengan sesi penilaian proposal-proposal para pensyarah. Prof Datuk Dr Wan Zurinah dan Prof Dr Norfilza menjadi fasilitator bagi sesi penilaian proposal dari empat kumpulan utama – Kornea, Glaukoma, VitreoRetina dan Oftalmologi Paediatrik. Dengan sesi ini, para pensyarah mampu menambahbaik idea proposal sedia ada.
Ucapan setinggi penghargaan kepada semua ahli jabatan dan para jemputan atas kejayaan bengkel kali ini. Diharapkan bengkel ini akan dapat meningkatkan kualiti proposal penyelidikan dan seterusnya Jabatan akan memperoleh beberapa geran penyelidikan bagi terus memacu aktiviti penyelidikan di Jabatan dan UKM.