National Cataract Surgery Symposium 2019

Cheras, 26 April 2019 –National Cataract Surgery Symposium 2019 anjuran Jabatan Oftalmologi HCTM telah berjaya menarik 180 orang peserta daripada hospital awam dan swasta. Simposium yang dijalankan selama tiga hari bermula 26 April ini bertujuan untuk meningkatkan ilmu dan informasi terkini berkenaan pembedahan katarak dan memberikan latihan secara amali bagi doktor-doktor pelatih di dalam bidang oftalmologi dalam melakukan pembedahan katarak.

Simposium ini dianjurkan setiap tahun dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Malaysian Universities Conjoint Committee of Ophthalmology (MUCCO). UKM telah terpilih sebagai tuan rumah bagi simposium pada kali ini dan antara pakar yang akan memberikan ceramah ialah Dr.Takayuki Akahoshi, pakar terkemuka dari Jepun untuk berkongsi kepakaran beliau di dalam pembedahan katarak.

Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Cairul Iqbal Mohd Amin, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia. Beliau dalam ucapannya berkata tinjauan yang dijalankan oleh The National Eye Survey in Malaysia (NES II) pada tahun 2014 mendapati 8.1% daripada 15,000 subjek yang berumur 50 tahun mempunyai tahap penglihatan yang teruk. 58.6% daripada kumpulan ini mengalami kebutaan disebabkan masalah katarak yang tidak dirawat.

Beliau berharap penganjuran simposium ini dapat memberikan penyelesaian masalah dengan meningkatkan latihan kemahiran pembedahan katarak dikalangan oftalmologist dan pelatih, disamping itu meningkatkan kecekapan dan tempoh masa adalah penting dalam meningkatkan kualiti hidup dalam kumpulan pesakit ini.