Program Motivasi & Solat Hajat Sempena Peperiksaan Nov 2018

Pada 26 Oktober 2018 yang lalu, Jabatan Oftalmologi dengan kerjasama Persatuan Ophthalmology in Action (OIA) telah mengadakan sesi ceramah motivasi dan majlis bacaan yasin dan solat hajat sempena musim peperiksaan Doktor Oftalmologi sesi November 2018. Peserta terdiri dari semua kakitangan Jabatan Oftalmologi termasuk pelajar-pelajar dan calon yang bakal menghadapi peperiksaan.

Penceramah jemputan adalah Dr. Raja Shamri atau lebih dikenali dengan nama Abang Raja, merupakan salah sorang pakar motivasi yang terkemuka di Malaysia. Pada tahun 2015 beliau di anugerahkan Tokoh Belia Negeri Kelantan oleh Majlis Belia Malaysia serta Tokoh Wira Rakyat oleh Kerajaan Negeri dan Anugerah Tokoh Anak Muda Kelantan atas jasa dan pengorbanan beliau menerajui, menyelaras dan membantu misi kemanusiaan mangsa banjir. Beliau juga merupakan pengasas gerakan sukarelawan “The Third Force” yang giat membantu golongan kurang mampu di negara ini.

Sesi perkongsian suka duka perjalanan hidup Abang Raja itu telah memberikan suntikan semangat supaya kita terus bersifat positif dan sentiasa melakukan perkara yang baik supaya dunia ini menjadi tempat yang lebih baik untuk semua insan.

Pada sebelah lewat petang, majlis bacaan yaasin dan tahlil diadakan dan kemudiannya diikuti dengan solat maghrib dan solat sunat hajat. Diharapkan semua calon yang bakal menempuhi peperiksaan diberikan kemudahan dan memperoleh keputusan yang cemerlang.