Tahniah! 2 Anugerah Silver Award di EduInnovation 2018
Pada 18 Oktober 2018 yang lalu, Jabatan Oftalmologi telah menyertai Pertandingan Penyelidikan Program EduInnovation 2018 anjuran Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah diadakan di Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh, UKM.
EduInnovation 2018 yang bertujuan memperkasa pemikiran serta kemahiran inovasi dalam sektor akademik dan industri selari dengan revolusi industri ke-4 telah disambut hangat oleh lebih 200 penyertaan dari pelbagai institusi akademik (sekolah, institut pengajian tinggi, universiti, politeknik dan lain-lain) dan industri.
Jabatan Oftalmologi PPUKM telah mempertandingkan dua penyertaan dalam Kategori Terbuka bertemakan Inovasi Dunia Digital iaitu “Help the Blind to Read (Dedicated to Patient Losing Their Eye Sight at Later Age)” yang telah dibentangkan oleh Dr Kogilavani. Projek yang melibatkan kedua-dua elemen fizikal (alat bantuan membaca) dan digital (aplikasi di telefon pintar) ini telah memenangi pingat perak pada tahun lepas bagi Kategori Terbuka bertemakan Inovasi Dunia Fizikal. Keaslian idea dan impak positif projek ini terhadap para pesakit dan dunia inovasi sendiri telah meyakinkan para juri untuk menganugerahkannya pingat perak.
Manakala projek kedua yang bertajuk “Developing a Simulated Training System for Cataract Surgery : Pioneer in the Country” telah mempertaruhkan projek realiti maya (Virtual Reality/VR) yang sulung dalam bidang perubatan amnya dan disiplin Oftalmologi khususnya dalam membangunkan modul latihan pembedahan katarak. Projek yang dibentangkan oleh Dr. Wani Zain ini juga turut merangkul pingat perak bagi kategori dan tema yang sama. Di sebalik kecemerlangan yang dibawa pulang ini, pastinya berdiri penasihat dan ketua projek yang sangat dedikasi dan berkarisma yakni, Dr Mushawiahti Mustapha, Pakar Oftalmologi dan Perunding Vitreoretina di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
Di akhir program EduInnovation ini, ucapan dan majlis penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa iaitu Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Marzuki bin Mustafa. Semoga jaringan strategik dan perkongsian bestari melalui kerjasama akademik dan industri ke arah revolusi industri ke-4 dapat ditingkatkan terutama sekali dalam bidang perubatan.