Tahniah! Pingat Emas di SLICE 2018
14-16 November 2018 yang lalu, Jabatan Oftalmologi Pusat Perubatan UKM telah memenangi Anugerah Emas (Gold Award) dalam Selangor Innovation & Creativity Exposition (SLICE 18) : Generating Innovation & Creativity anjuran University of Selangor (UNISEL) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor.
Acara yang diadakan selama tiga hari di Dewan Pro Chancellor, UNISEL, Kampus Shah Alam dimulakan dengan ucapan pendahuluan oleh H.E. Dr. Makio Miyagawa, Duta Jepun ke Malaysia, sekaligus merasmikan pembukaan acara Peringkat Kebangsaan ini.
Pada dasarnya, SLICE 18 dianjurkan untuk merangsang dan menarik minat para pelajar dan penyelidik terhadap budaya inovasi dalam pembelajaran dan pembangunan negara. Di samping menyahut cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 (Industrial Revolution 4.0), acara ini dapat membuka peluang kepada para pelajar dan penyelidik di seluruh negara untuk berkongsi idea dan pandangan mengenai inovasi dalam bidang masing-masing. Tiga hari tempoh pameran adalah mencukupi untuk para pengunjung melawat ke tapak pameran dan mendapatkan pendedahan awal dalam dunia inovasi khususnya bagi para pelajar.
Bagi Kategori Akademia/Professional Industri, Jabatan Oftalmologi telah mempertandingkan projek yang bertajuk “Developing a Simulated Training System for Cataract Surgery : Pioneer in the Country”. ‘Pitching’ dan pembentangan yang padat dan informatif oleh Dr Kogilavani telah menawan hati juri untuk memilih projek ini merangkul Anugerah Emas bagi Kategori Inovasi Bioteknologi, Kimia dan Sains Kesihatan. Manakala projek kedua yang bertajuk “Help the Blind to Read” yang dibentangkan oleh Dr Cheng Teck Chee dan Dr Wani Zain menghadapi persaingan yang agak sengit dalam kalangan peserta yang ramai bagi Kategori Pelajar Pendidikan Tinggi. Walaupun projek ini hanya membawa pulang hadiah sagu hati, penyertaan dan komitmen yang diberikan adalah sesuatu yang membanggakan dan dihargai oleh Jabatan Oftalmologi.
Selain itu, keunikan dan kekuatan yang ada pada kedua-dua projek ini adalah Penasihat dan Ketua Projek yang sama iaitu Dr. Mushawiahti Mustapha, Pakar Oftalmologi dan Perunding Vitreoretina di Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Tanpa dorongan dan komitmen yang jitu daripada beliau, keberjayaan projek ini dalam SLICE 18 adalah sesuatu yang mustahil. Keterujaan Dr Mushawiahti dalam penglibatan aktiviti dan petandingan anjuran luar UKM adalah sesuatu yang patut dicontohi dan dikembangkan oleh ahli akademik yang lain.
Semoga projek-projek ini dapat mencipta kecemerlangan yang berterusan pada masa akan datang di peringkat yang lebih tinggi