PENJAGAAN MATA SEMASA COVID-19: INFORMASI 1 – 4
Oleh: Dr. Yong Meng Hsien
Jabatan Oftalmologi, Fakulti Perubatan UKM
Published online: 18 Nov 2020
Memandangkan impak daripada COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan (MCO), sebilangan pesakit mata atau orang awam dengan masalah mata yang baru mungkin tidak dapat menerima maklumat, diagnosis dan rawatan yang sesuai. Kami bimbang bahawa dalam jangka masa ini, sebilangan pesakit yang mengalami masalah mata mungkin akan menjadi lebih teruk atau terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 ketika mereka mengunjungi klinik/hospital. Diharapkan maklumat mengenai penjagaan mata dalam tempoh COVID-19 ini dapat disampaikan kepada mereka yang berkaitan. Terima kasih.
1. VIRUS COVID-19 BOLEH MEREBAK MELALUI MATA
Kontak aerosol/titisan-ke-mata ATAU kontak tangan-ke-mata boleh menjadi sumber penyebaran COVID-19. Sila jangan sentuh mata anda (juga hidung dan mulut) dengan tangan yang tidak dicuci. Ini juga merupakan salah satu sebab penggunaan pelindung muka/kacamata disyorkan sebagai alat perlindungan diri untuk kerja jarak rapat.
Pemakai kanta lekap harus terus mengamalkan teknik kebersihan yang baik untuk mencegah penularan jangkitan, sebagai contoh basuh tangan dengan sabun dan air sebelum dan selepas mengendalikan kanta lekap. Pemakai kanta lekap harus pertimbangkan untuk menggantikan kanta lekap dengan cermin mata bagi mengurangkan menyentuh mata.
- KONJUNKTIVITIS (MATA MERAH) BERKEMUNGKINAN SATU PETUNJUK JANGKITAN COVID-19
Jangkitan konjunktivitis yang berkaitan dengan COVID-19 boleh menyebabkan penyebaran virus semasa/sebelum/selepas bermulanya mata merah (perkara ini belum terbukti). Sekiranya anda mempunyai mata merah dengan risiko/kontak/masalah pernafasan yang berkaitan dengan COVID-19, maka anda perlu hadirkan diri anda ke pusat kesihatan yang dilengkapi dengan rawatan mata dan rawatan COVID bagi proses rawatan. Paling penting sekali, sila laporkan sebarang risiko/kontak/masalah pernafasan yang berkaitan dengan COVID-19 kepada barisan hadapan kesihatan semasa lawatan.
Mata merah adalah penyakit mata yang sangat lazim dan biasanya akan sembuh sendiri. Jika anda tidak mempunyai risiko/kontak/masalah pernafasan yang berkaitan dengan COVID-19, anda boleh melakukan pemerhatian sendiri, atau menggunakan ubat mata air mata palsu atau “artificial tears” dari kaunter farmasi, atau lawati klinik terdekat untuk mendapatkan ubat mata antibiotik atau konsultasi (untuk mengurangkan risiko pendedahan COVID di persekitaran hospital).
- TEMU JANJI KLINIK MATA: SEMASA/SELEPAS MCO
Temu janji klinik mata anda, jika tidak ada kecemasan, kemungkinan besar akan dijadualkan semula/ditangguhkan bagi mengurangkan risiko penyebaran virus. Doktor anda akan menentukan tarikh baru bergantung pada kes yang berbeza, dan mereka boleh menetapkan ubat yang diperlukan, untuk anda terus mengambilnya sehingga tarikh temu janji yang baru (kaedah untuk mendapatkan ubat akan diberitahu oleh pusat masing-masing).
JIKA anda tidak menerima sebarang panggilan dari hospital/doktor anda, sila hubungi mereka sebelum tarikh temu janji untuk memeriksa sama ada temu janji baru telah diberikan (sekiranya anda tidak dapat dihubungi).
JIKA anda telah diberi temu janji baru TETAPI anda mengalami masalah mata yang baru atau semakin teruk terutamanya masalah penglihatan, sila periksa dengan doktor mata anda dengan menghubungi atau melawat.
JIKA anda belum diberi temu janji klinik baru DAN anda merasakan mata anda semakin sihat/bertambah baik, sila periksa dengan doktor mata anda sama ada perlu menjadualkan semula temu janji baru. Ini mungkin berlaku kerana nombor anda tidak dapat dihubungi, atau anda perlu meneruskan rawatan aktif (contoh: suntikan atau laser mata) untuk mencegah kerosakan penglihatan atau untuk penyesuaian rawatan (contoh: pengurangan/menghentikan ubat) untuk mengelakkan penggunaan yang berpanjangan/kesan sampingan.
JIKA anda telah atau belum diberi temu janji klinik baru, dan anda sedang menggunakan ubat mata yang disarankan oleh doktor anda untuk meneruskannya, tetapi ubat tersebut hampir habis, sila hubungi doktor anda untuk panduan lebih lanjut (elakkan daripada pergi ke hospital yang berisiko). Sekiranya lawatan ke klinik diberitahu tidak perlu, sila tanya pilihan untuk mendapatkan ubat melalui pos, pandu lalu, kaunter ambil-dan-pergi atau loker perubatan.
- MASALAH MATA YANG BARU: SEMASA/SELEPAS MCO
Bagi kes kecemasan seperti pengurangan/kehilangan penglihatan, gangguan penglihatan mata yang baru dan progresif, mata merah yang amat sakit, kecederaan mata yang teruk atau masalah mata yang baru selepas pembedahan mata baru-baru ini, sila dapatkan nasihat doktor mata anda secepat mungkin. Pesanan ini juga untuk mereka yang mempunyai risiko/kontak/masalah pernafasan yang berkaitan dengan COVID-19, orang yang sedang melakukan pengasingan diri, atau orang dengan jangkitan COVID-19 yang disahkan. Anda perlu maklumkan dan dapatkan nasihat doktor mata jika anda mengalami masalah mata yang serius seperti yang disebutkan (sila nyatakan risiko COVID anda kepada barisan hadapan kesihatan semasa lawatan).
Kes-kes yang tidak serius contohnya yang tidak mempunyai masalah penglihatan, boleh mempertimbangkan untuk melakukan pemerhatian sendiri, percubaan ubat mata “artificial tears” atau air mata palsu dari kaunter farmasi, atau mengunjungi klinik terdekat untuk mendapatkan khidmat konsultasi. Namun, jika tidak ada sebarang perubahan setelah beberapa hari/minggu atau semakin bertambah buruk, sila dapatkan nasihat lebih lanjut daripada doktor.
Kes-kes tertentu tanpa masalah penglihatan/sakit mata/kemerahan mata masih perlu menghadiri lawatan klinik mata mereka mengikut waktu yang telah ditetapkan. Sila ikuti nasihat doktor utama anda (doktor mata atau am), contoh; pesakit dengan penyakit mata diabetes yang berisiko tinggi (diabetes semasa hamil atau mereka yang memerlukan rawatan laser), pesakit dengan barah mata, atau pesakit baru yang memulakan rawatan suntikan mata dan diberitahu untuk mengulangi suntikan.
Paling penting sekali, sila kekal sihat dan lindungi mata anda di rumah. Terima kasih dan semoga informasi ini membantu.
Yong Meng Hsien (doktor pakar mata) 19-4-2020
Terjemahan oleh: Amirul Shahriza 20-4-2020