Jab Otorinolaringologi-HNS I Fakulti Perubatan

 Fakulti Perubatan UKM

KATA ALUAN KETUA JABATAN

Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher (ORL-SKL), Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia sejak penubuhannya pada tahun 1997, telah berkembang pesat dan sentiasa menyedia dan menyokong tiga perkhidmatan utama, iaitu:

  • Pengajaran
  • Penyelidikan
  • Perkhidmatan hospital

Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher, sentiasa  berusaha untuk merawat pesakit dengan penyakit berkaitan saluran pernafasan, sinus,telinga, mulut, farinks, tekak dan kawasan kepala dan leher secara pembedahan atau melalui rawatan perubatan termaju. 

Jabatan kami juga terlibat secara aktif di dalam pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran pelajar perubatan, paramedik dan juga untuk pakar perubatan daripada segenap peringkat termasuk ijazah, sarjana dan subkepakaran.

Ahli akademik jabatan komited dalam mempelopori penyelidikan di-bidang-bidang khusus termasuk deria bau, kelumpuhan pita suara, prosedur rawatan klinik, prosedur pembedahan kurang invasif dan rawatan kanser termaju. 

Selain itu para doktor di Jabatan Otorinolaringologi telah dilatih untuk mengendalikan pelbagai prosedur pembedahan yang kompleks seperti implan koklea , implan Bone Anchored Hearing Aid (BAHA), mastoidektomi, rhinoplasti, thyroplasti dan pembedahan untuk membuang ketumbuhan (benign atau malignant) di kawasan kepala, leher dan trakea.

Pakar bedah di jabatan juga aktif melakukan pembedahan endoskopik hidung dan saluran hidung, farinks, peti suara,dengkur, rekonstruktif hidung dan pembedahan paediatrik.

Pihak jabatan Otorinolaringologi -Surgeri Kepala dan Leher akan sentiasa membantu dengan memberi khidmat diagnosis, nasihat dan rawatan terbaik dalam menangani pelbagai penyakit yang berkaitan dengan kepakaran kami.

Sebagai tambahan, pihak jabatan sentiasa  berkerjasama dengan jabatan-jabatan lain seperti Jabatan Neurosurgeri, Jabatan Maksilofasial dan Jabatan Pembedahan Plastik.

Laman web ini bertujuan untuk memberikan sebanyak mungkin maklumat berkaitan dengan perkhidmatan, penyelidikan dan pengajaran yang disediakan oleh jabatan kami. Adalah menjadi hasrat kami bahawa melalui ketelusan penyebaran maklumat ini, kami akan berjaya memupuk semangat kerjasama yang lebih erat serta menjalin perhubungan yang lebih rapat di antara kami dan pelanggan kami khasnya dan masyarakat umum amnya.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusykilan mengenai perkhidmatan kami, sila kemukakan kepada kami melalui email jabatan di kjtht@ppukm.ukm.edu.my

Saya mempelawa anda untuk melihat perkhidmatan yang ada di jabatan kami dengan harapan anda memperoleh apa yang diperlukan. Sekiranya memerlukan keterangan lanjut, sila berhubung dengan pegawai kami. Kami juga mengalu-alukan penglibatan pendapat atau sebarang informasi yang boleh membantu dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami. Pandangan anda amat dihargai bagi membantu memperbaiki mutu perkhidmatan kami.

Selamat melayari laman web kami.