Kejayaan UKM: Lebih 400 Pesakit Dapat Implan Koklear Sejak 20 Tahun Lalu
Kejayaan UKM: Lebih 400 Pesakit Dapat Implan Koklear Sejak 20 Tahun Lalu
Oleh Asmahanim Amir
Foto: Mohd Hafizh Kasman, Jurugambar PPUKM
PUTRAJAYA, 25 Mei 2015 – Pasukan Implan Koklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menjalankan pembedahan ke atas 410 pesakit yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan sejak 20 tahun lalu.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata daripada jumlah itu hampir 84 peratus adalah pesakit kanak-kanak.
“Pesakit-pesakit itu juga turut mengikuti program latihan audiologi dan terapi pertuturan bagi membolehkan mereka mendengar dan bertutur setaraf individu normal,” katanya semasa berucap pada Majlis Amal High-Tea Sempena Sambutan 20 Tahun Program Implan Koklear UKM di sini pada 23 Mei lepas.
Implan koklear membantu menggantikan fungsi telinga dalam yang rosak bagi memproses bunyi dan menghantar signal ke otak. Ia berbeza daripada alat bantu pendengaran yang menguatkan bunyi.
Prof Noor Azlan berkata walaupun belum mencecah separuh dari usia UKM, gabungan kepakaran Pasukan Implan Koklear UKM yang terdiri daripada ahli akademik dan para profesional kesihatan termasuk pakar otorinolaringologi, audiologi, terapi pertuturan dan kanak-kanak telah memberi impak yang besar dalam pengendalian kanak-kanak serta individu yang mengalami cacat pendengaran di Negara dan rantau ini.
“Pasukan Implan Koklear UKM telah bersunguh-sungguh dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Mereka adalah satu kumpulan pakar yang bukan sahaja dapat mencetus nama dalam negara sahaja tetapi juga telah memberi kerjasama dan sumbangan yang besar kepada masyarakat antarabangsa dan pakar-pakar di seluruh dunia,” katanya.
Prof Dr Noor Azlan berkata beliau berbangga kerana usaha-usaha yang dilakukan oleh para pengasas Pasukan Implan Koklear 20 tahun lalu telah berkembang dengan penyertaan lebih ramai professional klinikal dalam bidang-bidang berkaitan.
“Gabungan kepakaran ini merupakan satu contoh terbaik bagaimana ilmu dan kepakaran ahli akademik dapat memberi sumbangan yang berimpak tinggi kepada masyarakat.
“Ia juga merupakan contoh terbaik bagaimana pelbagai kepakaran yang ada di sebuah hospital akademik dan profesional klinikal dari bidang pembedahan telinga, audiologi, sains pertuturan dan kanak-kanak dapat bekerjasama dalam satu program rawatan yang menggunakan teknologi perubatan tercanggih dan terkini,” ujarnya.
Katanya bagi meningkatkan kerjasama antara para profesional dalam bidang perubatan dan sains kesihatan, UKM telah merangka kaedah pengajaran terkini yang menggunakan kaedah pembelajaran antara profesional dalam kurikulum di Fakulti Perubatan dan Fakulti Farmasi.
“Program ini (pembelajaran antara profesional) harus digalakkan supaya kita dapat melahirkan para professional perubatan dan kesihatan yang dapat bekerja dalam satu pasukan yang mantap demi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada para pesakit,” katanya.
Beliau berharap agar program itu dapat terus mempertingkatkan usaha untuk meningkatkan bilangan graduan dan professional dalam bidang sains kesihatan bagi memastikan keperluan perubatan dan kesihatan pesakit dapat ditangani dengan menyeluruh.
Sementara itu, Pengarah Institut Telinga, Pendengaran dan Pertuturan (I-HEARS) Prof Dr Goh Bee See berkata kecemerlangan pasukan implan koklear UKM telah diiktiraf oleh pelbagai pihak di peringkat tempatan, Asia Tenggara, Asia dan Timur Tengah.
“Pasukan Implan Koklear UKM telah membantu menubuhkan program implan koklear di Indonesia, Pakistan, dan Vietnam selain bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mewujudkan program implan koklear di kementerian berkenaan,” katanya.
Beliau berkata pada Disember 2014, pasukan itu menerusi I-HEARS telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Borneo Medical Centre bagi membantu menubuhkan program implan koklear di Sarawak.
Pada tahun 1994, Prof Dato’ Dr Lokman Saim bersama Prof Dato’ Dr Abdullah Sani Mohamed dari Jabatan Otorhinolaryngologi, Fakulti Perubatan UKM bekerjasama dengan Prof Dr Siti Zamratol Mai-Sarah Mukari dan Prof Madya Dr Kartini Ahmad dari Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu telah membentuk Pasukan Implan Koklear UKM.
Pasukan ini telah melakar sejarah apabila menjadi kumpulan perintis dalam mengendalikan kes implan koklear di rantau ini.