Mesin AirMini CPAP terkecil

Kuala Lumpur: Kira-kira enam juta rakyat Malaysia dianggarkan menghidap Sindrom Tidur Berapnea atau Obstructive Sleep Apnoea (OSA) dan hampir dua juta daripada jumlah itu memerlukan rawatan intensif.

Kaedah paling berkesan untuk rawatan OSA adalah menggunakan mesin Continuous Positive Airway Pressure (CPAP), namun kebanyakan mesin CPAP ini bersaiz besar, berat dan sukar dibawa serta dikendalikan terutama bagi pesakit yang kerap mengembara.

Justeru, bagi memudahkan pesakit OSA, Jabatan Otorinolaringologi (ENT) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) menerusi Pakar Bedah Kanan ENT, Prof Datuk Dr Abdullah Sani Mohamed dengan kerjasama EASMED Sdn Bhd melancarkan Mesin AirMini CPAP terkecil di dunia peringkat kebangsaan, di sini, semalam.

Menurut Dr Abdullah, OSA adalah penyakit di mana pesakit gagal bernafas semasa tidur kerana ketika itu saluran pernafasan akan sempit dan hal ini secara tidak langsung menyukarkan si pesakit untuk memperoleh tidur yang lena.

 

 

MESIN CPAP.

“Biasanya, penyakit ini boleh dirawat menerusi pembedahan tetapi jika ia tidak dapat diatasi d

engan pembedahan, penggunaan mesin CPAP adalah jalan penyelesaiannya. Tetapi ia perlu digunakan selamanya.

“Perkara ini pastinya menyukarkan pesakit terutama apabila mereka perlu tidur di tempat lain atas sebab bercuti, mengembara, atau urusan kerja di luar. Jadi, dengan adanya Mesin AirMini CPAP terkecil di dunia ini, pesakit boleh membawanya ke mana saja dan boleh tidur dengan lena.

“Ia sekali gus membuatkan mereka lebih produktif, tidak mengantuk di siang hari dan ceria,” katanya.

Pelancaran Mesin AirMini CPAP ini disempurnakan Timbalan Dekan (Siswazah dan Perhubungan Antarabangsa) Prof Dr Ahmad Nazrun Shuid.

Turut hadir, Pengurus Pemasaran Segmen – Saluran Profesional Baru Asia ResMed (Malaysia) Sdn Bhd Dylan Tan, Pengarah Easmed Sdn Bhd Erwin Kua dan Timbalan Pengurus Unit Perniagaan Bahagian Tidur Chew Han Teak.

 

 

 

Suliati Asri

suliati@hmetro.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 10:25 AM

SUMBER: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/12/291834/terkecil-di-dunia