Pertandingan ‘i-ROBOT 2023’ ini dirancang khas untuk murid-murid sekolah rendah yang berminat dalam pembelajaran robotik. Program ini diadakan bagi sekolah-sekolah di seluruh Malaysia buat julung kalinya dan dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Pendidikan Kejuruteraan (P3K), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia bersama Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur.
Pertandingan ‘i-ROBOT 2023’ ini bertepatan dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memberi penekanan terhadap aspek kreativiti dan inovasi di kalangan pelajar. Justeru, program yang bertemakan “Bas Berautonomi untuk Bandar Pintar” ini dilaksanakan sebagai inisiatif untuk mewujudkan pembelajaran berasaskan pengalaman yang menarik dan menyeronokkan. Ia bagi menyokong usaha berterusan kementerian dalam mempromosi inovasi serta pendidikan dalam bidang STEM di sekolah. Keunikan program ini berbeza dengan pertandingan robotik di peringkat institusi penganjian tinggi awam (IPTA) seperti RoboCon kerana pencungkilan bakat dalam bidang robotik seawal peringkat sekolah rendah di peringkat kebangsaan. Ini dapat memberi pendedahan awal serta keyakinan kepada murid dalam bidang ini untuk ke peringkat antarabangsa.
Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menarik minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, atau STEM, sekaligus melahirkan pelajar yang berkeyakinan tinggi, berinovasi dan cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum untuk menjana kemenjadian murid ke peringkat yang lebih tinggi.
OBJEKTIF
Memberi pendedahan serta pengalaman kepada murid-murid untuk bekerjasama bersama rakan- rakan dalam pertandingan robotik.
Memberi peluang kepada murid-murid untuk mewujudkan semangat kerjasama dalam menuntut ilmu apabila menyertai pertandingan.
Melahirkan murid yang berinovasi dan cemerlang dalam akademik dan sedar tentang kepentingan dan manfaat ilmu berkaitan STEM.
Menyemai semangat yakin pada diri sendiri di kalangan murid-murid dalam usaha meningkatkan tahap akademik dan ko-kurikulum.
Meningkatkan tahap pencapaian sekolah apabila dapat melahirkan perasaan minat belajar di kalangan murid-murid.
Mengeratkan serta menjalinkan hubungan antara sekolah-sekolah yang menyertai pertandingan ini dari pelbagai tempat di Malaysia.