Webinar Pengaturcaraan Mikropengawal Microbit
Pada 31 Julai 2021 yang lalu, satu bengkel webinar berkaitan teknologi Pengaturcaraan Mikropengawal Microbit telah diadakan oleh pihak P3K dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Maluri, Kepong. Objektif bengkel secara dalam talian tersebut dijalankan adalah bagi memberi pendedahan dan pengalaman kepada murid-murid sekolah tentang ilmu kejuruteraan dan pengaturcaraan. Tema teknologi pengaturcaraan mikropengawal dipilih kerana ia merupakan satu teknologi penting dalam industri automasi dan alat elektronik digital yang merupakan salah satu bidang di dalam era revolusi industri 4.0.
Webinar tersebut dihadiri oleh murid-murid darjah 4 dan darjah 5 sekolah tersebut seramai hampir 80 orang. Bengkel ini dimulakan dengan sesi pengenalan kepada P3K dan UKM oleh Prof. Madya Ir. Dr. Norhana Arsad selaku ketua pusat. Seterusnya, sesi pembelajaran secara pengalaman diteruskan oleh Dr. Mohd Faisal Ibrahim selaku penyelaras sub-bidang jangkauan kejuruteraan dan aplikasi STEM. Webinar ini juga dibantu oleh 3 para pelajar pra-siswazah dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem, FKAB UKM iaitu saudara Tuan Muhamad Affiq, saudara Avinash dan saudara Gupret Singh sebagai mentor pelajar.
Di akhir bengkel tersebut, para peserta telah dapat menyiapkan 4 projek mudah menggunakan platform pengaturcaraan micro:bit secara atas talian. Bagi murid yang telah mempunyai perkakasan micro:bit, mereka juga telah berjaya memuat turun program yang dibina ke dalam mikropengawal tersebut dan mendemonstrasi projek-projek yang dibina.