Bahagian Pentadbiran & Kemudahan, Jabatan Pendaftar telah menganjurkan Himpunan Staf BPK dan Bicara Tuntas Amalan Terbaik BPK pada 20 Disember 2024.
Himpunan staf yang diadakan secara tahunan ini bertujuan untuk meningkatkan komunikasi dalam kalangan staf selain menyampaikan informasi terkini mengenai pencapaian, polisi dan garis panduan terbaru serta mendapatkan maklum balas yang konstruktif.
Dalam acara tersebut, BPK turut menyampaikan Anugerah Staf Mithali, Anugerah Dalaman BPK, serta Sijil Sifar Cuti Sakit sebagai pengiktirafan kepada staf yang menunjukkan prestasi cemerlang. Selain itu, pertandingan booth makanan terbaik yang diadakan memberikan ruang kepada staf untuk mempamerkan kreativiti mereka melalui pelbagai juadah yang disediakan.
Sesi petang diisi dengan Bicara Tuntas Amalan Terbaik BPK, di mana setiap unit di BPK berpeluang berkongsi amalan terbaik yang telah terbukti berkesan. Program ini bukan sahaja mendorong pemikiran kreatif dan inovatif, tetapi juga memberi inspirasi kepada staf untuk mengadaptasi idea baharu serta melaksanakan perubahan positif dalam kerja harian mereka.
Program ini dihadiri oleh YBrs. Tn. Hj. Zanudin Mohd Daud, Menjalankan Fungsi Pendaftar; En. Abdul Rahman Mohd Nordin, Presiden KESUKMA & Setiausaha Agung CEUPACS; Cik Najatulmuna Hamdan, Ketua Bahagian Pentadbiran & Kemudahan; serta semua Ketua Unit dan staf BPK.