Program Jati Diri Watan Siri 8 anjuran Jabatan Pendaftar UKM telah melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama 3 hari 2 malam di Pulau Pangkor, Perak, bermula 14 hingga 16 Februari 2025.
Siri kali ini melibatkan 80 orang staf yang terdiri daripada pensyarah akademik, pegawai P&P, dan kakitangan pelaksana. Program ini turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, yang menjalankan fungsi Naib Canselor, YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor.
Tujuan utama program ini adalah untuk merapatkan hubungan antara pengurusan tertinggi universiti dan para peserta, mengukuhkan nilai kepimpinan dan kerja berpasukan serta menerapkan semangat jati diri UKM dalam menghadapi perubahan serta keperluan semasa Universiti Watan ini.
Turut hadir sepanjang program adalah Pendaftar, YBrs. Tuan Hj. Zanudin Mohd Daud, Ketua Pustakawan, Encik Hazmir Hj. Zainal, dan Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar, YBhg. Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman.