Majlis Pelancaran Buku “Rupa & Gaya Busana Melayu”
KUALA LUMPUR, 18 FEBRUARI 2025 –Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani telah menghadiri Majlis Pelancaran Buku Rupa dan Gaya: Busana Melayu Edisi Ketiga 2025 hasil karya Allahyarhamah Azah Aziz bertempat di Sasana Kijang, hari ini. Buku Rupa & Gaya Busana Melayu ini adalah terbitan Penerbit UKM pada tahun 2006 telah dihasilkan ketika Allahyarhamah menjadi Karyawan Tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) pada 1 Ogos 1994 hingga 31 Julai 1996 bagi lantikan pertama dan 1 Ogos 1998 hingga 31 Julai 1999 bagi lantikan kedua. Buku yang dilancarkan hari ini merupakan Edisi Ketiga dan ia menyerlahkan cinta dan komitmen tokoh budayawan ini dalam memelihara dan memulihara seni budaya Melayu. YM Tan Sri Datin Paduka Dr. Ungku Zeti Akhtar Ungku Abdul Aziz yang merupakan anak Allahyarhamah Azah Aziz berkata penyelidikan yang teliti dan cinta ibunya terhadap tradisi Melayu telah membantu membuka jalan kepada generasi akan datang untuk menghargai dan mempertahankan akar budaya kita. Karya ini bukan sahaja mengenai seni tekstil dan pakaian, ia juga tentang memahami jiwa identiti Melayu, keseniannya, dan kepentingan mengekalkan amalan ini dalam menghadapi kemodenan. Edisi pertama buku ini pernah diiktiraf sebagai ‘Buku Terbaik’ apabila memenangi hadiah Tinta Perdana dalam Anugerah Buku Kebangsaan anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia pada tahun 2008. Turut berkenan berangkat ke majlis ini ialah YAM Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz. UKM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YM Tan Sri Datin Paduka Dr. Ungku Zeti Akhtar dan Tita Publications atas kesudian berkolaborasi dengan UKM dalam penerbitan kedua versi buku ini.

