Get the latest updates and news from PERKASA, where we share stories of youth empowerment and our community initiatives. Stay informed about our progress.
KUALA LUMPUR: Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA@remaja) UKM sekali lagi mengendalikan kem untuk para remaja berusia antara 16 hingga 24 tahun. Peserta seramai 30 orang telah mengikuti kesemua modul yang telah disediakan oleh para penyelidik PERKASA@remaja. Kem yang berdurasi selama tiga minggu ini bermula pada 28 November 2016 sehinggha 17 Disember 2016 di Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT), Jalan Genting Klang. Para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti latihan tempur tanpa senjata, penerokaan diri, kerohanian, kawad, juga didedahkan dengan kemahiran membaiki motor. Program ini merupakan sebuah kerjasama Bahagian PERMATA, PERKASA@remaja UKM, PULAPOT dan Bikerz United Motorsports Club. Kem yang dijalankan dua kali setahun ini bertujuan menyuntik disiplin, meningkatkan potensi diri serta menyemai sifat kepimpinan dalam diri remaja yang terlibat. Kem PERKASA@remaja telah diperkenalkan sejak enam tahun lalu adalah suatu program intervensi berkonsepkan kem untuk meningkatkan potensi diri remaja yang terbabit dalam kegiatan lumba motosikal haram dan sering digelar sebagai 'Mat Rempit'. Teks ucapan YABhg. Datin Paduka Seri Hjh. Rosmah Mansor yang merupakan penaung Program PERMATA telah dibacakan oleh Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali yang mewakili beliau bagi menyempurnakan majlis penutup Kem PERKASA@remaja Siri 9/2016 dan penyampaian sijil kepada 30 peserta kem.
"Usaha murni untuk membangunkan remaja tidak akan berjaya tanpa sokongan dan pembabitan berterusan daripada semua pihak terutamanya keluarga dan masyarakat. Saya amat berharap program PERMATA dapat membantu memberikan peluang dan bimbingan untuk remaja melihat dan merealisasikan potensi masa hadapan mereka," katanya pada majlis penutupan Kem Perkasa Remaja siri 9/2016 di PULAPOT, di sini hari ini. "Setiap program Kem PERKASA@remaja yang direncanakan bertujuan membimbing golongan remaja agar menjadi warga yang dapat memberi sumbangan positif kepada negara. Jujurnya, saya amat prihatin dengan setiap permasalahan golongan remaja khususnya mereka yang digelar 'Mat Rempit'. Dari sini timbullah keinginan saya mendekati dan membimbing golongan tersebut," katanya. Beliau berkata, program yang membabitkan golongan remaja perlu bersifat dinamik dengan mengambil kira perkembangan terkini bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya. "Saya percaya menerusi modul baharu seperti bermotosikal ini akan menerapkan semangat setiakawan, disiplin dan pengorbanan yang tinggi dalam diri peserta," katanya.