Get the latest updates and news from PERKASA, where we share stories of youth empowerment and our community initiatives. Stay informed about our progress.
SETAPAK, 21 September 2024 – Majlis Penyampaian Hadiah bagi Merdeka Make Up Challenge PERMATA Remaja 2024 telah berlangsung dengan meriah di Pusat Komuniti PERMATA Remaja PA Desa Rejang. Pertandingan yang bermula pada 18 Ogos 2024 hingga 30 Ogos 2024 ini telah dijalankan kepada peserta Kelas Kecantikan PERMATA Remaja bagi menguji kemahiran solekan mereka dengan elemen patriotisme sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-67.
Majlis ini turut dihadiri oleh tetamu kehormat iaitu Datin Rosnawati Saleh, Pengarah BeautyFest Sdn Bhd, Profesor Madya Surveyor Dr. Norngainy Mohd Tawil, Felo Penyelidik Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA) serta Puan Nazariah Taharin, Jurulatih Professional Makeup Artist. Kehadiran mereka telah memberikan inspirasi kepada para peserta Kelas Kecantikan PERMATA Remaja yang menyertai pertandingan ini. Sebelum acara penyampaian hadiah dijalankan, para peserta telah berpeluang menyaksikan tutorial solekan secara langsung oleh Puan Nazariah Taharin, Jurulatih Professional Makeup Artist. Dalam sesi ini, beliau telah memilih seorang dari peserta Kelas Kecantikan untuk dijadikan model tutorial solekan. Beliau juga telah memberikan penerangan secara terperinci tentang langkah-langkah dan peralatan yang perlu digunakan untuk mencipta solekan bertema 'solekan ringkas harian’ semasa melakukan tutorial solekan.
Pertandingan Merdeka Make Up Challenge ini menilai peserta berdasarkan beberapa kriteria penting termasuk pemahaman tema kemerdekaan, teknik solekan, kebersihan, kekemasan serta kreativiti dalam solekan, pakaian, dan penggunaan prop. Para peserta mempersembahkan bakat mereka dengan penuh inovasi dan mencipta solekan bertema patriotik yang berjaya memikat hati juri.
Sebanyak tiga kategori telah dipertandingkan dalam acara ini. Kategori pertama ialah menilai kemahiran solekan terbaik, manakala kategori kedua pula dianugerahkan kepada video kreatif dengan pungutan like terbanyak di media sosial PERMATA Remaja. Kempen like tersebut telah berlangsung selama tujuh hari bagi memberikan peluang kepada peserta untuk mempromosikan video kreatif mereka dan mengumpul mata. Kategori ketiga pula adalah melibatkan peserta paling kreatif di mana peserta yang mendapat markah paling tinggi dalam pemarkahan kreativiti sewaktu perjurian akan dipilih sebagai pemenang.
Tempat pertama bagi kategori kemahiran solekan telah dimenangi oleh Saudari Nur Fadrisyah Abdullah selaku jurusolek dan Nor Sumyyah Shaari selaku model solekan. Tempat kedua telah disandang oleh Saudari Nur Qistina Najwa Zaipul selaku jurusolek dan Saudari Isnafaraha Ahmad Tarmizi selaku model solekan manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Saudari Nur Qistina Balqis Zaipul selaku jurusolek dan modelnya Putri Nurfarzana A‘fifah Khairi. Manakala bagi kategori like terbanyak video kreatif di media sosial PERMATA Remaja dan kategori kreativiti telah dimenangi kumpulan yang sama iaitu Kumpulan 1 di mana ahlinya ialah Saudari Nur Fadzrisyah Abdullah dan Nor Sumyyah Shaari dengan jumlah sukaan sebanyak 188.
Majlis penyampaian hadiah ini tidak hanya meraikan pemenang, tetapi juga memberi peluang kepada para peserta untuk meningkatkan keyakinan diri dan mengasah bakat mereka dalam bidang solekan kreatif. Acara ini sekaligus memupuk semangat patriotik dalam kalangan remaja melalui medium yang unik dan inovatif.