Pusat Pemerkasaan Remaja

Selamat Datang ke Laman Web Perkasa

Berita

Dapatkan informasi dan berita terkini dari PERKASA, di mana kami berkongsi berita tentang pemerkasaan belia dan inisiatif komuniti kami. Ketahui tentang perkembangan kami.

KARNIVAL PENDIDIKAN KERJAYA MURID (SUKSES)

GOMBAK, 27 Ogos 2024 - Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Majlis Guru Kaunseling Kuala Lumpur telah menjemput Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA) untuk membuka reruai sewaktu Karnival Pendidikan Kerjaya Murid atau nama lainnya ialah Sharing University & Skills Information For Enhance Student Success (SUKSES) peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sedang berlangsung. Karnival ini berlangsung pada 27 Ogos 2024 bermula jam 8.00 pagi sehingga 2.00 petang.

Objektif karnival ini diadakan adalah menjadi Pusat Sehentian (One Stop Centre) bermaklumat kepada kumpulan sasaran seperti pelajar, ibu bapa, guru dan komuniti setempat untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini mengenai peluang pendidikan tinggi serta pembiayaan bagi lepasan SPM/setaraf dan STPM/setaraf di peringkat pengajian program asasi, diploma mahupun ijazah pertama di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Di samping itu, karnival ini turut memberi pendedahan dan maklumat mengenai peluang pendidikan dan latihan yang disediakan oleh institusi latihan kemahiran, institusi pengajian tinggi dan sektor swasta di Malaysia.

Sebanyak 295 buah sekolah seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dijemput dalam karnival ini. Antara agensi luar yang terlibat sewaktu Karnival Pendidikan Kerjaya Sukses (SUKSES) ini adalah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC).

Sewaktu reruai dibuka, penerangan ringkas diberikan kepada guru dan pelajar yang hadir tentang bagaimana kemahiran asas di peringkat sekolah menengah dapat mengembangkan kreativti serta mengurangkan budaya tidak sihat dalam kalangan pelajar menerusi Program PERMATA Remaja. Selain itu, kejayaan daripada alumni program ini turut dikongsikan bagi menarik minat dan perhatian pelajar serta guru sekolah.

Justeru, pihak PERKASA mengucapkan ribuan terima kasih kepada Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Majlis Guru Kaunseling Kuala Lumpur kerana sudi menjemput dan memberi peluang di atas pembukaan reruai PERMATA Remaja di Karnival Pendidikan Kerjaya Murid (SUKSES). Sehingga jumpa lagi.