Dapatkan informasi dan berita terkini dari PERKASA, di mana kami berkongsi berita tentang pemerkasaan belia dan inisiatif komuniti kami. Ketahui tentang perkembangan kami.
PANTAI DALAM, 6 Mac 2024 - Pihak PERKASA UKM mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan YARA di atas sumbangan kepada 19 orang peserta program PERMATA Remaja untuk projek Back To School 2024. Majlis penyerahan sumbangan ini telah diadakan pada 6 Mac 2024 yang lalu di Taman Permainan Kanak-kanak, Blok 102, PPR Sri Pantai bersempena dengan Karnival Keusahawanan PERMATA Remaja.
Yayasan YARA telah diwakili oleh Pengurus Yayasan iaitu Puan Shahida Musa telah menyampaikan sumbangan kepada semua penerima dengan diiringi oleh Dr. Nasrudin Subhi selaku Ketua PERKASA. Penerima sumbangan yang berusia di antara 13 hingga 17 tahun ini telah menerima sumbangan sebanyak RM300 (Tiga Ratus Ringgit Sahaja) seorang. Sumbangan ini amat besar maknanya kepada peserta program PERMATA Remaja dan akan digunakan untuk membeli peralatan dan kelengkapan persekolahan mereka.
Semoga usaha murni ini akan memberi manfaat dan inspirasi kepada masyarakat sekeliling untuk sentiasa berkongsi kebaikan. Terima kasih Yayasan YARA atas sumbangan persekolahan yang diberikan.