30 Mei 2016 – Bahagian PERMATA di bawah Jabatan Perdana Menteri akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa PERMATA 2016 (PIC 2016) selama tiga hari bermula 31 Mei sehingga 2 Jun 2016 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Persidangan yang bertemakan ‘Children Beyond Tomorrow’ ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak.
Penganjuran program ini telah diilhamkan oleh Penaung Program Permata Negara (PERMATA), Datin Paduka Seri Rosmah Mansor. PIC 2016 buat julung kalinya akan menggabungkan kesemua tujuh bidang PERMATA iaitu (i) PERMATA Negara, (ii) PERMATA Pintar, (iii) PERMATA Seni, (iv) PERMATA Insan, (v) PERKASA@remaja, (vi) PERMATA Kurnia dan (vii) Hospital Pakar Kanak-Kanak PERMATA.
PIC 2016 bertujuan untuk memupuk kesedaran dan pemahaman terhadap masyarakat mengenai pembangunan optimum kanak-kanak. Selain itu, persidangan ini juga bermatlamat bagi memberi penekanan betapa pentingnya perkhidmatan pendidikan serta intervensi awal kepada kanak-kanak dan remaja.
Persidangan yang berlangsung selama tiga hari ini akan diisi dengan pengisian bengkel dan sesi ceramah. Seramai 15 pakar terkemuka dari luar negara serta 33 pakar tempatan akan berkongsi pengalaman dan kepakaran masing-masing dalam persidangan tersebut.