Pusat Pemerkasaan Remaja

Selamat Datang ke Laman Web Perkasa

Berita

Dapatkan informasi dan berita terkini dari PERKASA, di mana kami berkongsi berita tentang pemerkasaan belia dan inisiatif komuniti kami. Ketahui tentang perkembangan kami.

PROGRAM CELIK KERJAYA

PPR PANTAI RIA, 8 Jun 2024 - Dalam usaha meningkatkan pengetahuan remaja B40 tentang institut pengajian tinggi dan kerjaya, pihak Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Program Celik Kerjaya pada 8 dan 9 Jun yang lalu di Pusat Komuniti PERMATA Remaja, Blok A PPR Pantai Ria. Pelbagai agensi yang telah dijemput bagi merealisasikan program ini. Program yang dijalankan selama dua hari ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada remaja tentang peluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang diingini dan bersesuaian dengan kelayakan yang diperoleh seterusnya mengenal pasti jenis personaliti bagi mewujudkan pilihan kerjaya yang tepat pada masa hadapan. .

Selain itu, memandangkan permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) akan ditutup pada 10 Jun maka ini merupakan satu langkah yang baik dalam membantu remaja terutamanya dari Program PERMATA Remaja dalam memilih laluan pendidikan yang sepadan dengan keputusan yang diterima. Hal ini demikian kerana, kurangnya pendedahan dan kesedaran tentang institusi pengajian akan mendorong mereka untuk tidak mendapat tempat di mana-mana institusi.

Program ini dimulakan dengan perkongsian daripada Puan Azizah binti Safie, Pensyarah Kanan/ Pegawai JHEP (Promosi) dan Cik Nur Syafiqah Zahirah binti Abdul Rahman, Penolong Pengarah Bahagian Ambilan & Pembangunan Pelajar tentang kemasukan ke Politeknik dan Kolej Komuniti. Pendedahan tentang keistimewaan bagi golongan B40 dalam menyambung pengajian di Politeknik dan Kolej Komuniti telah membuka mata remaja tentang kelebihan yang akan diperoleh di samping yuran pengajian yang rendah dikenakan. Peluang ini telah memupuk minat untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tambahan pula, perkongsian oleh Puan Zaidatul Akmal Zawani, Penolong Pendaftar Bahagian Pengambilan Pelajar UiTM yang berkongsi tip-tip permohonan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga telah membuka mata para remaja tentang kesediaannya pihak UiTM dalam menyantuni golongan B40 seterusnya membuka ruang kerjaya yang wujud di pasaran semasa.

Perkongsian pada hari tersebut diteruskan oleh Encik Izzat Ibrahim dan Cik Maziah selaku kaunselor Program PERMATA Remaja tentang panduan pembiayaan pendidikan dan biasiswa yang ditawarkan oleh pelbagai agensi. Pemakluman ini sedikit sebanyak dapat mempersiapkan remaja lepasan SPM untuk memohon bagi persediaan sumber bantuan kewangan kepada mereka.

Hari kedua program diteruskan dengan Slot: Talent Trail di mana telah dikendalikan oleh Pelajar Sarjana Eksekutif Psikologi Industri dan Organisasi UKM. Slot ini telah mengetengahkan kepentingan penampilan diri dan tip untuk menghadiri temuduga serta personaliti diri dalam membentuk haluan kerjaya. Aktiviti role-play turut dijalankan sewaktu slot ini bagi melatih para remaja menghadapi situasi sebenar.

Slot diteruskan dengan perkongsian Tatacara Memohon Pekerjaan Melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) oleh wakil SPA iaitu Puan Shuhaszlima binti Hanafi, Puan Nurul Syuhada binti Ahmad, Puan Farahin binti Noor dan Puan Hafizah binti Hussin. Pendedahan maklumat pekerjaan menerusi laman sesawang SPA dapat memberikan pendedahan awal tentang kerjaya yang selaras dengan tahap pendidikan, minat, personaliti serta kebolehan yang ada dalam diri seseorang.

Pelbagai input yang telah diperoleh hasil dari slot yang dirancang. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi pada tahun akan datang dengan kehadiran pelbagai agensi. Pihak PERKASA mengucapkan jutaan terima kasih atas komitmen agensi yang terlibat.