Get the latest updates and news from PERKASA, where we share stories of youth empowerment and our community initiatives. Stay informed about our progress.

PUTRAJAYA, 2 Februari 2025 – Pihak PERMATA Remaja telah menghantar dua pasukan untuk menyertai Pertandingan Memasak Lauk Kampung bersempena dengan Hari Terbuka Pertanian Bandar & Kelulut Putrajaya yang bertempat di Taman Botani Putrajaya. Seorang tenaga pengajar iaitu Cikgu Fatimah Jusoh dan tiga peserta PERMATA Remaja dari kelas kek dan pastri iaitu Rasmawi Azeman@Kamal, Muhammah Farish Mohammad Khyrul Nizam dan Muhammad Daim Haiqal Mohd Sharil telah menyertai pertandingan ini. Bertemakan masakan lauk kampung, kumpulan pertama ialah Cikgu Fatimah dan Rasmawi dengan menu yang dipilih Ayam Sambal Madu manakala kumpulan kedua ialah Muhammad Farish dan Muhammad Daim dengan masakan Ayam Ungkep dan Sambal Terung Pipit. Pertandingan ini telah disertai pelbagai kumpulan dan persaingan sengit dapat dirasai sewaktu pertandingan berlangsung. Tujuan penyertaan ini adalah untuk memupuk bakat dan kemahiran peserta PERMATA Remaja dalam bidang kulinari selain memperoleh pengalaman berharga menerusi penyertaan ini.

Setiap hidangan kumpulan telah dinilai oleh dua orang juri jemputan dan kumpulan Cikgu Fatimah dan Rasmawi telah dinobatkan pemenang tempat ketiga dalam pertandingan ini. Diharapkan pertandingan ini memberi banyak manfaat kepada peserta PERMATA Remaja dari segi semangat berkumpulan dan peningkatan kemahiran kulinari.