Pusat Pemerkasaan Remaja

Welcome To PERKASA Website

News

Get the latest updates and news from PERKASA, where we share stories of youth empowerment and our community initiatives. Stay informed about our progress.

PROGRAM PERMATA REMAJA ART DAY

KUALA LUMPUR, 24 Ogos 2024 - Dalam usaha untuk memupuk kesihatan mental dan emosi remaja, Program PERMATA Remaja Art Day telah dilaksanakan dengan penuh semangat dan kreativiti. Program ini telah diadakan di keempat-empat buah Pusat Komuniti PERMATA Remaja (PKPR) selama dua hari dengan dibahagikan kepada sesi pagi dan petang. Setiap sesi membawa peserta menyelami dunia seni melalui tema-tema yang mendalam dan reflektif seperti "Topeng Diri", "Tempat Tenang Saya", dan "Jambatan Masa Depan". Program ini bukan sahaja menawarkan peluang untuk berekspresi malah menyediakan ruang selamat untuk remaja memahami diri dan mendalami emosi mereka.

Program ini bertujuan untuk memberikan platform kepada peserta PERMATA Remaja meluahkan perasaan dan emosi melalui seni. Dengan bimbingan terapi seni, para peserta diberi ruang untuk berkongsi cerita dan pengalaman mereka melalui media seni seperti melukis, mewarna dan menyatakan pandangan mereka terhadap lukisan yang telah dihasilkan. Setiap sesi bermula dengan suai kenal, diikuti dengan bengkel seni di mana peserta diberi kebebasan untuk berkarya.

Program ini membuka peluang kepada remaja untuk berekspresi, dan memberi kesan positif terhadap kesihatan mental mereka. Menurut salah seorang peserta, "Saya rasa lebih tenang dan dapat meluahkan apa yang saya rasa melalui lukisan. Ia membantu saya untuk memahami diri sendiri dengan lebih baik."

Melalui tema-tema yang disediakan seperti "Jambatan Masa Depan". Ini memberi inspirasi kepada peserta untuk membayangkan masa depan yang mereka impikan dan bagaimana mereka boleh membina 'jambatan' untuk mencapai impian tersebut. Oleh itu, aktiviti ini memberi motivasi kepada remaja untuk melihat ke hadapan dengan penuh yakin dan harapan.

Sementara itu, tema "Topeng Diri" pula memberikan peserta peluang untuk merenung dan mengekspresikan identiti sebenar mereka yang sering kali tersembunyi di sebalik 'topeng' yang dikenakan dalam kehidupan seharian. Aktiviti ini membantu mereka untuk lebih mengenali diri sendiri dan menangani perasaan yang terpendam.

Program PERMATA Remaja Art Day membuktikan bahawa seni boleh menjadi medium yang berkesan dalam membantu remaja mengurus emosi dan cabaran hidup. Dengan pendekatan yang kreatif dan inovatif, program ini berjaya mencipta ruang selamat untuk remaja menyuarakan isi hati mereka dan belajar membina kekuatan dalaman serta ketahanan mental yang lebih baik.