Pusat Perumahan Pelajar telah menganjurkan Bengkel Perancangan Projek Baharu di bawah Peruntukan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) pada 8 hingga 9 Ogos 2024 bertempat di Hotel Dorsett, Putrajaya. Bengkel ini bertujuan untuk merancang dan memperincikan projek-projek strategik yang akan dilaksanakan di bawah RMK13 bagi memperkukuhkan infrastruktur dan kemudahan di kolej kediaman.
Bengkel ini dipimpin oleh Encik Mohd Arif Abd Hamid, Ketua Bahagian Penyelenggaraan dan Prasarana, dengan penglibatan Ketua Pentadbiran Kolej Kediaman UKM serta staf dari Pusat Perumahan Pelajar. Turut hadir bersama, Pengarah Pusat Perumahan Pelajar, Encik Firdaus Yahaya yang turut memberi pandangan dalam perbincangan perancangan projek baharu di bawah RMK13.
Fokus utama bengkel ini adalah untuk memastikan kesinambungan pembangunan dan penyelenggaraan prasarana selari dengan aspirasi mencapai status negara maju. Melalui bengkel ini, pelan tindakan yang lebih mantap dapat dirangka untuk memastikan projek-projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan efisien dan memberi impak positif kepada komuniti pelajar.
Pusat Perumahan Pelajar UKM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan bengkel ini. Kerjasama yang erat ini diharapkan akan membawa kejayaan dalam setiap perancangan yang telah diatur.
#pppukm
#pusatperumahanpelajarukm
#bengkelRMK13
#UniversitiWatanKita