Assalamualaikum YBhg. Prof./Tuan/Puan,
Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Subhanahu Wata’ala kerana telah memberi kudrat kepada kita dalam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak. Semoga segala amalan yang dilakukan sepanjang Ramadhan mendapat barakah, rahmat, meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Yang Maha Esa.
Bagi pihak Pengurusan Pusat Perumahan Pelajar, saya dengan rendah diri ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir dan Batin kepada semua warga PPP khususnya dan UKM amnya. Semoga kita sentiasa berada dalam rahmat dan lindungan Allah.
Sempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini, marilah kita sambut dengan penuh kesederhanaan, kemeriahan serta rasa kesyukuran di atas nikmat yang dikurniakan pada kita ketika melalui era endemik Covid-19 ini. Walaupun SOP dilonggarkan, namun kita perlu berhati-hati dalam meningkatkan kawalan diri untuk mengekang penularan wabak Covid-19.
Di samping itu, gunakan peluang ini untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan saling bermaafan semasa kita. Semoga sambutan Aidilfitri tahun ini akan menjadi sambutan yang menggembirakan serta meriah kerana kita berkesempatan menyambutnya bersama keluarga tercinta dan sahabat handai di kampung halaman masing-masing.
Kepada warga yang balik ke kampung halaman dengan memandu kenderaan walau ke mana destinasinya, saya mendoakan agar semua warga akan selamat tiba ke destinasi yang dituju dan dipermudahkan segala urusan perjalanan pergi dan balik. Semoga sambutan Aidilfitri kali ini membawa erti yang mendalam pada diri kita serta dikandungi seribu rahmat selepas 2 tahun kita tidak dapat berkumpul berhari raya bersama sanak saudara, disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan semasa pandemik Covid-19. Diharapkan kita terus berjuang memerangi Covid-19 disamping meningkatkan rasa kasih sayang pada diri dan keluarga untuk sentiasa berwaspada dengan tahap kesihatan kita.
SALAM AIDILFITRI. MAAF ZAHIR & BATIN.
MEJAR BERSEKUTU (PA) DR. SHAZLI EZZAT HJ. GHAZALI
Pengarah
Pusat Perumahan Pelajar UKM