Pada tahun 2023, Penerbit UKM telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Pesta Buku UKM buat julung-julung kalinya dari 21 hingga 24 Oktober 2023.
Inisiatif penganjuran Pesta Buku UKM ini adalah sebagai usaha memperkenalkan Penerbit UKM kepada umum, memperkasakan jualan buku dan promosi serta membuka peluang untuk menarik minat pihak luar untuk bekerjasama dengan Penerbit UKM dari aspek penerbitan mahupun kolaborasi pemasaran.
Pelbagai aktiviti perbukuan yang menarik seperti jualan buku terbitan penerbit tersohor tempatan, acara pelancaran buku, program bicara buku, forum dan lain-lain telah berjaya dilaksanakan sepanjang pesta buku berkenaan. Berikutan sambutan yang menggalakkan untuk Pesta Buku 2023, Penerbit UKM meneruskan tradisi dengan mengadakan Pesta Buku UKM 2024 ini dengan harapan ia dapat menarik lebih ramai warga UKM dan orang awam untuk memeriahkan lagi aktiviti perbukuan dan memajukan industri penerbitan buku negara.