Agama adalah suatu kepercayaan dan keyakinan individu yang memenuhi kehidupan dari aspek spiritual dan rohani. Setiap agama pula mempunyai suatu set ajaran yang telah diperakui dan disahkan oleh penganut mereka dengan merujuk kepada kitab suci agama masing-masing. Dalam konteks masyarakat Muslim, agama Islam menjadi pegangan dan keyakinan masyarakat sejak nabi pertama yang diutuskan iaitu Nabi Adam AS hingga nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW Segala ajarannya adalah termaktub dalam kitab suci iaitu al-Quran. Golongan remaja yang merupakan generasi muda adalah kumpulan yang menjadi perhatian ibu bapa, guru dan negara dalam penerapan ajaran agama Islam untuk diamalkan. Ini kerana mereka adalah golongan yang berpotensi untuk berjaya, namun dalam waktu yang sama mempunyai cabaran hidup yang getir sekiranya tidak diberi bimbingan dan motivasi dalam menuju ke arah kehidupan yang beragama. Salah satu pendekatan dakwah yang sesuai dengan golongan remaja adalah melalui pendekatan motivasi. Motivasi adalah suatu daya penggerak atau dorongan untuk memenuhi pelbagai keperluan hidup individu termasuk golongan remaja seperti keperluan dari aspek jasmani, rohani, spiritual/agama dan fisiologi. Perspektif dakwah dan konsep motivasi ini mempunyai persamaan dengan pendekatan dakwah al-targhib dan al-tarhib, iaitu suatu pendekatan yang mempunyai dorongan untuk membuat kebaikan dan meninggalkan melakukan keburukan atau kejahatan.

Profesor dalam bidang psikologi dakwah remaja dan psikologi Islam. Menjadi pakar rujuk dalam bidang ini peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Selain itu menjadi pakar rujuk dalam pembangunan program akademik, penilai dan akreditasi dalam bidang pengajian/peradaban Islam, dakwah dan psikologi Islam oleh MQA dan IPTA/IPTS di Malaysia. Kepakaran turut dirujuk oleh agensi/institusi agama dan wanita bagi memberi sumbangan kepada masyarakat seperti JAKIM, YADIM, Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri, Penjara Malaysia, Pusat Pemulihan Remaja, KDN, KPWKM, Majlis Pembangunan Wanita Pahang dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Merupakan Felo Akademi Sains Malasyia (ASM) pertama dalam bidang Pengajian Islam. Peneraju, hubungan Malaysia dan Uzbekistan dalam bidang pendidikan khususnya perkembangan bidang Islamic Civilization dan budaya dengan memperluaskan kerjasama antara institusi penyelidikan kedua-dua negara. Telah berjaya menandatangani beberapa MoU dengan Institusi Penyelidikan dan University di Uzbekistan. Ahli Majlis, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP) 2020-kini. Telah menerima beberapa anugerah peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Honorary Award 30 Years of Independence of Uzbekistan oleh Presiden Uzbekistan pada 2021 dan Anugerah Pengajar Antarabangsa Apple Teacher oleh Microsoft 2022. Dikurniakan Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’.