Buku Nurani dalam Mandala Manusiawi membawakan sembilan tema yang terdiri daripada aneka mauduk, iaitu jati diri, kekeluargaan, kemanusiaan, kemasyarakatan, kenegaraan, pembangunan, pendidikan, pengurusan dan persahabatan. Kesemua mauduk tersebut dihimpun menerusi sejumlah 78 bab yang rata-rata mewakili kepelbagaian lapis jurus kehidupan yang dilintasi setiap kita hampir pada setiap ketika. Penulis yang merupakan mantan pentadbir di universiti awam, membentangkan pengalamannya yang banyak dan ia dapat mengasuh nurani khalayak yang membaca. Ragam asas pertumbuhan nurani itu pasti sahaja bertunas dari relung diri sendiri dan lingkungan kekeluargaan mahupun persahabatan. Bagaimana nantinya dengan menelaah ihwal peribadi sedemikian, buku ini membawa kita melangkaui ke mandala atau wilayah insani yang lebih lebar. Beberapa lakaran tentang pertelingkahan dalam setiap mauduk yang disentuh itu menjadi ajaran untuk kita fahami, betapa rumitnya untuk mengenal hati budi manusia. Namun pada masa yang sama, kesalingan yang diperaga, antara sesama makhluk malah terkait dengan hubungan kerohanian, menerbitkan jurus cahaya yang selalu memandu kaki dan hati manusia untuk terus berada di jalan yang lurus. Jelas pula kemanusiaan yang dibentangkan tidak tertakluk kepada syarat garis lokaliti di Malaysia sahaja. Buku ini merentangkan narasi yang berdaya guna dalam mempertimbangkan perihal kesenjangan sosial, psikologi mahupun akliah yang sering kita temukan di mana-mana termasuk negara Indonesia, Thailand malah di Tanah Suci juga.
ABD RAZAK HUSSIN adalah mantan Pendaftar (Pengarah Eksekutif Pentadbiran) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Mengikuti pengajian awal di UKM dalam jurusan antropologi, sosiologi, sejarah dan pengajian Melayu di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan (FSKK; kini dikenali sebagai Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan). Ijazah Sarjananya dalam Sains Pembangunan Manusia dari Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM). Berpengalaman mengurus hal ehwal pengurusan pelajar, kampus cawangan, fakulti, Komunikasi Korporat dan Canselori UKM sebelum menerajui Jabatan Pendaftar. Beliau juga adalah penulis pojok akhbar perdana Malaysia.