Buku Anak Kampung Melakar Sejarah ini merupakan sebuah buku motivasi yang berdasarkan kepada kisah kehidupan yang telah dilalui oleh penulis. Naratif penceritaan yang terkandung di dalam buku ini adalah sejarah kehidupan yang telah ditempuh oleh penulis bermula dari zaman persekolahan sehinggalah ke hari ini. Agenda utama yang ingin diketengahkan oleh buku ini ialah mengubah persepsi dan keyakinan pembaca terhadap faktor kemiskinan dan kesusahan yang sering kali dijadikan sebagai alasan utama untuk tidak mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan. Pelbagai strategi dan kaedah mencapai kejayaan dan kecemerlangan telah dikongsikan oleh penulis di dalam buku ini. Selain daripada tips dan strategi mencapai kejayaan, penulis juga turut berkongsi pelbagai kisah menarik sepanjang kehidupan dan kerjaya yang dilalui selama hampir 55 tahun. Adalah diharapkan buku ini dapat memberi suntikan dan motivasi serta inspirasi kepada setiap pembaca untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan hidup pada masa akan datang tanpa mengira latar belakang dan status sosial mereka.

Mohammad Shatar Sabran, PhD, (Profesor Dato’ Dr.) dilahirkan pada pada 7 Februari 1967 di Kampung Titi Gantung, Bota, Perak. Beliau telah menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bota kiri dan kemudian menyambung pengajian menengahnya di Sekolah Menengah Dato’ Abdul Rahman Yaakub Bota Kanan sebelum menyambung pengajiannya di Sekolah Menengah Teknik Ipoh. Profesor Dato’ Dr. Mohammad Shatar kemudian melanjutkan pengajian tingginya di Amerika Syarikat mulai tahun 1988 sehingga tahun 1999. Selama hampir 13 tahun berada di perantauan, beliau telah berjaya menamatkan pengajian tingginya di peringkat AAD, Ijazah, Master dan Kedoktoran di negara tersebut. Sekembalinya ke tanah air, beliau telah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris. Selain itu, beliau juga telah menyandang pelbagai jawatan utama seperti pengetua kolej, pengarah pusat, Timbalan Naib Canselor, Naib Canselor dan terkini ialah Ketua Pengawai Eksekuitf MQA di dalam tempoh tersebut. Beliau juga telah dianugerahkan dengan pelbagai anugerah yang berprestij seperti Anugerah Akademik Negara (AAN), Who’s Who in the World 2012, Outstanding Contribution to Education Award, dan Outstanding Intelectuals of the 21st Century. Beliau juga telah dianugerahkan dengan Darjah Kebesaran Negeri Perak dan Pahang yang telah membawa gelaran Dato’.