Pengenalan
Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Universiti Kebangsaan Malaysia ialah entiti yang mengendalikan urusan komunikasi dalaman dan luaran seperti pelajar, orang ramai, alumni dan media. Ia diwujudkan pada 11 Februari 2010 melalui penstrukturan semula yang menggabungkan Pejabat Perhubungan Awam dan Korporat (PPAK) dan Unit Kandungan Web Universiti (UnikWeb). Berikutan gabungan itu UnikWeb diperluaskan peranannya dan ditukar nama menjadi Portal Berita UKM. Seiring dengan itu, Web TV UKM diwujudkan untuk membolehkan aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan yang dijalankan oleh UKM dibuat liputan bukan saja melalui berita bertulis tetapi juga menggunakan video, dan kedua-duanya disalurkan melalui internet.
Penstukturan semula ini dilakukan selaras dengan kenaikan status Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai sebuah universiti yang memberi tumpuan kepada penyelidikan. Berikutan itu, terdapat keperluan mendesak untuk menyebar luas dan mempromosi aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan yang dilaksanakan di UKM bukan saja untuk makluman masyarakat Malaysia tetapi juga masyarakat dunia yang dilakukan melalui media konvensional dan media baru.
Sebelum penstrukturan itu, PPAK adalah sebahagian daripada Pusat Perancangan Korporat dan Komunikasi (PPKK), manakala Unit Kandungan Web (UnikWeb) terletak di bawah Pusat Teknologi Maklumat (PTM). Pejabat Perhubungan Awam yang wujud sejak penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970, secara sendiri telah melalui banyak perubahan dan beberapa kali menjadi sebahagian daripada beberapa unit lain.
Fungsi
Fungsi teras PKK ialah pengurusan acara bagi aktiviti utama UKM, menguruskan hal-ehwal hubungan masyarakat dan urusan korporat serta kegiatan universiti yang memberi faedah kepada UKM, penyediaan ucapan rasmi pegawai utama UKM, penerbitan korporat iaitu Senada dan Resonance, hubungan media dan lawatan pihak luar, khususnya pelajar sekolah ke UKM. PKK juga mengendalikan papan digital dan Portal Ewarga yang digunakan untuk menyampai maklumat dan berita terkini kepada seluruh warga UKM. Selain itu ia juga menyelaras laman web fakulti, institut dan pusat perkhidmatan di seluruh UKM.
Penubuhan Bahagian Portal Berita UKM dan Web TV UKM meluaskan lagi fungsi PKK sebagai sebuah pusat sehenti komunikasi yang mengumpul, menerbit dan menyebarluaskan bahan berita sendiri, yang sebelum ini hanya bergantung kepada organisasi media luar untuk melakukannya.
Pusat Komunikasi Korporat beroperasi dari dua pejabat, iaitu di Aras 2, Bangunan Canselori, dan di Aras 1, Bangunan Penerbit UKM.
Visi
Memperkasakan komunikasi korporat UKM
Misi
Menyerlah kebitaraan UKM menerusi komunikasi berkesan
Dasar Kualiti
Menyediakan perkhidmatan berkualiti dan membuat penambahbaikan berterusan dalam pengurusan reputasi universiti untuk memenuhi kepuasan dan jangkaan pelanggan serta pemegang taruh
Moto: 3P
Profesional, Proaktif, Peramah
Nilai Korporat
Profesionalisme, Kerja berpasukan, Integriti, Berhemah, Budaya Kerja Cemerlang, Hormat-menghormati, Kebolehpercayaan, Kredibiliti
Matlamat
Objektif utama Pusat Komunikasi Korporat ialah untuk mencitrakan UKM sebagai sebuah universiti penyelidikan terkehadapan di negara ini dan menyerlahkan nilai UKM dengan menggunakan saluran-saluran komunikasi yang sesuai yang boleh memberi impak positif dan optimum kepada UKM.