Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim

 UKM

Latarbelakang Tun Fatimah Hashim

fatimahhashim

Tun Tan Sri (Dr.) Fatimah Hashim lahir pada 25 Disember 1924 di Parit Keroma, Muar, Johor. Tun Fatimah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Parit Keroma kerana ketika itu belum ada sekolah untuk murid perempuan di kampung tersebut. Beliau kemudian menyambung pelajarannya di Sekolah Melayu Perempuan Mersing dan belajar bahasa Inggeris dengan seorang guru Sekolah Convent Johor Bahru.

Tun Fatimah mula menunjukkan minat terhadap kerja-kerja kebajikan sejak di bangku sekolah lagi. Semasa bersekolah, beliau seorang murid yang aktif dan pernah menjadi Ketua Darjah dan Ketua Kumpulan Sekolah Melayu Perempuan Mersing , Ketua Kumpulan kegiatan berkebun sayur, dan ketua rombongan pasukan senaman ke pertandingan senaman sekolah-sekolah peringkat negeri Johor di Sekolah Air Molek.

Suami beliau Tan Sri Abdul Kadir Yusuf bekas Ketua Peguam Negara yang kemudiannya juga dilantik sebagai Menteri Undang-Undang, menjadikan mereka sebagai satu-satunya pasangan Menteri Kabinet dalam sejarah politik negara. Fatimah Hashim mempunyai 6 orang anak. Tun Fatimah meninggal dunia pada 9 Januari 2010, jam 11.35 malam dalam usia 85 tahun kerana sakit tua. Jenazah dikebumikan di Masjid Negara di sebelah pusara suaminya, Tan Sri Abdul Kadir Yusuf. Beliau adalah wanita pertama yang dikebumikan di Makam Pahlawan.