Webinar Program Kepimpinan Wanita: Membina Pemimpin Masa Depan

Pada 10 Disember 2020 yang lalu, Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, UKM dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) telah menganjurkan Webinar Program Kepimpinan Wanita: Membina Pemimpin Masa Depan secara atas talian. Webinar pada kali ini telah disertai oleh lebih 300 orang peserta yang terdiri daripada kalangan pemimpin muda termasuk para mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta tokoh pemimpin wanita yang berpengalaman antaranya Prof. Emerita Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Presiden NCWO; Tan Sri Dato’ Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur, Pengerusi Lembaga Pengelola University College of Yayasan Pahang dan Tan Sri Sharizat Abdul Jalil, Mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Sesi webinar juga telah disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim.

Sesi webinar dimulakan dengan ucapan pembukaan daripada Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Prof. Dr. Dayang Anita Abdul Aziz. Antara topik perbincangan yang telah dikupas oleh penceramah-penceramah jemputan yang hebat dalam bidang masing-masing adalah Wanita dan Hak-haknya, Cabaran Kepimpinan, Menangani Kepelbagaian, Libat Urus dan Jaringan, Kesejahteraan Mental serta Perkongsian Pengalaman Kepimpinan. Sesi Webinar diakhiri dengan ucapan penutup daripada Presiden NCWO, Prof. Emerita Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. Program ini amat penting dalam memastikan usaha yang berterusan dalam melahirkan lebih ramai pemimpin-pemimpin muda yang berpotensi dan berbakat seterusnya dapat menyambung legasi kecemerlangan pemimpin-pemimpin wanita masa kini.