Universiti Kebangsaan Malaysia dan Female Entrepreneurs Worldwide Jalin Kerjasama Strategik Berkaitan Kepimpinan Keusahawanan Wanita

4 Januari 2021

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Female Entrepreneurs Worldwide (FEW) (Greater China) Limited dalam bidang kepimpinan keusahawanan wanita bagi melatih pelajar, pensyarah, peserta dari NGO, dan wanita dari kumpulan B40 untuk mengembangkan kemahiran keusahawanan. Kerjasama telah dimeterai menerusi satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak yang dilakukan secara atas talian. UKM telah diwakili oleh Naib Canselor UKM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman manakala FEW diwakili oleh Pengasas Bersama & Ketua Pegawai Eksekutif FEW iaitu Cik Anna Wong. Lebih istimewa lagi ialah kehadiran Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sebagai tetamu kehormat pada majlis ini. Kerjasama ini menandakan komitmen dan kesediaan UKM untuk bekerjasama dengan agensi berwibawa tempatan dan antarabangsa sama ada organisasi kerajaan atau bukan kerajaan yang sesuai dengan falsafah institusi ini. FEW yang beroperasi di Hong Kong, Shanghai, Shenzhen dan Singapura dengan 5,000 anggota wanita berdaftar telah melakar namanya tersendiri dalam memberikan sokongan dan menjadi sumber kepada wanita tempatan dan global melalui penyediaan rangkaian perniagaan dan perkhidmatan perundingan. Jadi, kolaborasi UKM dengan FEW diharapkan dapat menghasilkan lebih banyak peluang bagi wanita di Malaysia untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka. Melalui MoU ini para pelajar di UKM dapat menimba ilmu kepimpinan keusahawanan wanita secara percuma dari portal FEW. UKM dan FEW juga akan membantu usahawan wanita dari golongan B40 melalui program konsultasi atas talian khas yang akan dijalankan dalam bahasa kebangsaan. Peluang penyelidikan dan kajian antara kedua belah pihak juga amat besar. PKWTFH berharap peluang keemasan ini akan digunakan sepenuhnya oleh semua pelajar dan para pensyarah wanita UKM khususnya.