Forum Bicara Wanita Cemerlang Sambutan Hari Wanita Antarabangsa

Pada 29 Mac 2019 yang lalu Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) telah mengadakan Forum Bicara Wanita Cemerlang sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa dan Festival Generasi 2019 bertempat di PUSANIKA, Universiti Kebangsaan Malaysia. Forum anjuran PKWTFH pada kali ini adalah bagi menghayati kisah dan pengalaman wanita-wanita besi negara (Iron Ladies) menjadi seorang pemimpin yang berjaya. Forum seumpama ini adalah usaha keras PKWTFH untuk menyediakan platform mekanisme perkongsian pengalaman kepimpinan di setiap peringkat lapisan termasuk pemimpin politik, universiti, komuniti, NGO dan pemimpin pelajar. Forum ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Puan Dr. Siti Mariah Mahmud, Ahli Dewan Negeri Seri Serdang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor.

Forum anjuran kali ini telah mengumpulkan wakil Iron Ladies seperti Prof. Dr. Yang Farina Abdul Aziz iaitu seorang pendaki wanita yang berjaya menawan Gunung Kilimanjaro, Afrika; Puan Saliza Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan BG Capital Holdings Sdn. Bhd. yang merupakan seorang wanita yang berjaya menubuhkan sebuah syarikat keselamatan; Puan Zaida Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif ZMI Maintanence Services yang juga merupakan pelumba kereta wanita; Datin Ira Ghani, Pengarah Eksekutif Pembangunan Keusahawanan Yayasan Peneraju Keusahawan Bumiputera dan Prof. Dr. Hamidin Abd Hamid, Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMCEDEL) yang merupakan wakil tunggal panelis lelaki berkongsi pandangan tentang kepimpinan politik wanita. Pengarah PKWTFH, Prof. Datin Dr. Norizan Abdul Razak juga turut serta dalam forum ini sebagai moderator.