Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Female Entrepreneurs Worldwide (FEW)

 

Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) UKM menyambut tahun baru 2021 dengan satu lagi kerjasama strategik dengan Kumpulan Kepimpinan Wanita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Majlis Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO) pada Oktober 2020 yang lalu. Kali ini PKWTFH memeterai perjanjian persefahaman dalam bidang Kepimpinan Keusahawanan Wanita bersama Female Entrepreneurs Worlwide (FEW). Female Entrepreneurs Worldwide (FEW) merupakan organisasi yang menyediakan platform holistik pengajaran, konsultasi dan jaringan pelbagai bidang keusahawanan wanita di peringkat Antarabangsa secara atas talian.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM (melalui Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim) dengan FEW akan berlangsung pada 4 Januari 2021 secara atas talian. UKM akan diwakili oleh YBhg Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman. Manakala FEW akan diwakili oleh Pengasas Bersama & Ketua Pegawai Eksekutif FEW iaitu Cik Anna Wong. Lebih istimewa lagi ialah kehadiran Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sebagai tetamu kehormat pada majlis ini.

Melalui MoU ini para pelajar di UKM dapat menimba ilmu Kepimpinan Keusahawanan Wanita secara percuma dari portal FEW. UKM dan FEW juga akan membantu usahawan wanita dari golongan B40 melalui program konsultasi atas talian khas yang akan dijalankan dalam bahasa kebangsaan. Peluang penyelidikan dan kajian antara kedua belah pihak juga amat besar. PKWTFH berharap peluang keemasan ini akan digunakan sepenuhnya oleh semua pelajar dan para pensyarah wanita UKM khususnya.