Mengenang Tun Fatimah Hashim, Menteri Wanita Pertama Malaysia

 

Mengimbas kembali tanggal 20 Mei, 52 tahun yang lalu, Allahyarhamah Tun Fatimah Hashim telah menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Menteri Kabinet. Beliau dilantik menjadi Menteri Kebajikan Am dan mengangkat sumpah di hadapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Sultan Haji Zainal Abidin Mu’azam Shah pada usianya 45 tahun. Menelusuri susur masa hayat beliau, Tun Fatimah Binti Haji Hashim dilahirkan pada 25 Disember 1924 di Kampung Parit Keroma, Muar, Johor. Beliau merupakan anak ketiga daripada keluarga yang besar iaitu 24 orang adik-beradik. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Lelaki Kampung Parit Keroma dan seterusnya ke Sekolah Melayu Perempuan Mersing. Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Tan Sri Abdul Kadir Yusof (Allahyarham) dan mereka mempunyai enam orang anak.

Beliau mula terlibat dalam bidang politik pada tahun 1947. Kemudian, pada tahun 1948 beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Cawangan Kaum Ibu Kampung Nong Chik Johor Bahru. Beliau pernah memegang jawatan Penolong Setiausaha UMNO cawangan Johor Bahru. Namun begitu, pada tahun 1953 hingga 1955 beliau telah mengikut suaminya, Tan Sri Abdul Kadir ke London. Sekembalinya beliau ke tanah air pada tahun 1955, beliau dijemput untuk menjadi ahli UMNO di Ipoh Perak dan telah dilantik menjadi Ketua Wanita UMNO Ipoh. Beliau kemudiannya dipilih sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO Malaya. Beliau telah bertanding dalam pilihanraya bagi Kawasan Jitra/Padang Terap menang tiga kali berturut-turut. Pada 20 Mei 1969, beliau diberi kepercayaan untuk menjadi Menteri Kebajikan Am, iaitu menteri wanita pertama dalam Kerajaan Malaysia.

Tun Fatimah Hashim telah banyak berjasa melalui Pergerakan Kaum Ibu UMNO dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO). Beliau adalah pengasas NCWO dan menjadi Yang Di Pertua pada tahun 1965 sehingga 1989. Melalui pertubuhan ini banyak usaha yang telah beliau jalankan bagi memperbaiki kedudukan dan taraf wanita di negara ini. Pada 31 Ogos 1958, beliau telah dianugerahkan Bintang Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri seterusnya merupakan wanita pertama di negara ini yang mendapat gelaran Tan Sri. Pada tahun 2003 pula beliau telah dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang membawa gelaran Tun. Anugerah-anugerah ini adalah sebagai penghargaan di atas jasa dan sumbangan beliau di arena politik tanah air dan aktiviti kebajikan masyarakat khususnya bagi wanita. Pada 10 Januari 2010, beliau telah kembali ke rahmatullah. Negara telah kehilangan sebutir permata berharga yang tiada galang gantinya.