Salam Takziah kepada Keluarga dan Rakan Taulan Allahyarhamah Tan Sri Datin Paduka Hajah Zaleha Ismail

 

Warga Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarhamah Tan Sri Datin Paduka Hajah Zaleha Ismail pada 14 November 2020 yang lalu. Allahyarhamah Tan Sri Datin Paduka Hajah Zaleha Ismail merupakan mantan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat pada tahun 1995 hingga 1999. Allahyarhamah telah terlibat dalam dunia politik selama 30 tahun menyertai UMNO sebagai ahli biasa hingga jawatan tertingginya sebagai Ahli Majlis Tertinggi. Selepas itu, Allahyarhamah Tan Sri Datin Paduka Hajah Zaleha Ismail mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1978 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Selangor sebelum menjadi Ahli Parlimen Gombak dan telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan padan tahun 1987 hingga 1995. Allahyarhamah juga pernah bertugas di Radio Malaya sebagai pembantu rancangan dan Pegawai Ensiklopedia di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum bergiat aktif dalam bidang politik.

Mantan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia ke-9 merangkap Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Prof. Emerita Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin turut mengucapkan salam takziah di atas pemergian Allahyarhamah Tan Sri Datin Paduka Hajah Zaleha Ismail yang pernah memegang jawatan Presiden NCWO sambil menggelarnya sebagai ikon wanita dalam menggerakkan usaha pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat di negara ini. Beliau turut kagum akan semangat dan komitmen Allahyarhamah semasa menjadi ahli Kabinet dalam merangka polisi dan dasar berkaitan isu-isu kesaksamaan gender, keperluan wanita dan kanak-kanak, gangguan seksual dan keganasan serta penguatkuasaan undang-undang dan polisi dalam memperkasa wanita dan keluarga. Allahyarhamah adalah seorang mentor yang sangat dihormati dengan sifat kepimpinan cemerlang dan sentiasa membentuk dan mendidik kepimpinan wanita yang lebih muda. Semoga roh Allahyarhamah Tan Sri Datin Paduka Hajah Zaleha Ismail dicucuri Rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama golongan beriman.

Dilampirkan transkripsi penuh eulogi daripada Prof. Emerita Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Mantan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia ke-9 merangkap Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) terhadap Allahyarhamah Tan Sri Datin Paduka Hajah Zaleha Ismail.