SELAMAT MENYAMBUT HARI WANITA KEBANGSAAN 2021

Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH), UKM mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita Kebangsaan 2021. Selaras dengan hari yang penuh bermakna ini, PKWTFH dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) telah bekerjasama menganjurkan Majlis Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-59 bertemakan “Wanita Berjuang Menghapus COVID-19” secara atas talian. Majlis dimulakan dengan sesi Webinar Wanita Berjuang Menghapus COVID-19 yang dilancarkan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad sambil disaksikan oleh Prof. Emerita Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Yang Di-Pertua NCWO; Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM; Prof. Dr. Dayang Anita Abdul Aziz, Pengarah PKWTFH. Webinar ini menampilkan panel-panel pakar dalam bidang masing-masing antaranya Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, Penasihat kesihatan Awam kepada Perdana Menteri; Datuk Dr. Hafsah Hashim, Penasihat SME Bank Islam; Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, Pakat Perunding Kanan Kesihatan Awam UKM dan Prof. Madya Dr. Mohammad Rahim Kamaluddin, Pakar Perunding Kanan Kriminologi UKM. Perbincangan yang dikupas semasa webinar ini adalah sangat relevan dalam memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai cabaran yang dihadapi oleh wanita di Malaysia dalam mengharungi pandemik COVID-19.
Majlis diteruskan lagi dengan Pelancaran Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-59 yang disempurnakan dengan rakaman video Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Baginda menzahirkan ucapan terima kasih atas kerja keras ditunjukkan oleh pekerja wanita, terutamanya petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik COVID-19. Baginda turut berharap agar masalah pendapatan, masalah kesihatan fizikal dan mental, keselamatan serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan wanita diberi perhatian.