Prof. Dr Muhammad Yunus (Pemenang Hadiah Nobel)
25 Februari 2012 – Profesor Muhammad Yunus penerima hadiah Nobel Keamanan pada tahun 2006 telah datang membuat lawatan ke Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau terkenal dalam bidang kajian kemiskinan kerana telah banyak membantu golongan yang berpendapat rendah. Kejayaan terbesar beliau dalam membantu golongan berpendapatan rendah di Bangladesh ialah dengan terbinanya Gramen Bank .
Pusat Kepimpinan Wanita berbesar hati menjemput Profesor Muhammad Yunus untuk memberi pandangan dan pendapat beliau dalam membantu golongan wanita yang berstatus ibu tunggal serta golongan yang berpendapatan rendah di Malaysia.
Profesor Madya Dr. Madeline Berma selaku Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita telah membuat pembentangan mengenai latar belakang Pusat Kepimpinan Wanita serta program-program yang telah dan akan dilaksanakan. Selain itu, Profesor Madya Dr. Madeline Berma turut membentangkan perkembangan program Teman 1Azam yang melibatkan kerjasama di antara National Council of Women’s Organisations Malaysia (NCWO) dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sesi perbincangan dimulakan selepas pembentangan. Menurut Profesor Muhammad Yunus untuk memperkasakan diri empat perkara perlu dititik beratkan iaitu wang, kuasa, membuat simpanan serta penyertaan yang aktif dalam politik.
Beliau turut menjawab pertanyaan berkaitan penguasaan wanita di dalam Gramen Bank dengan menyatakan bahawa wanita di Bangladesh lebih bertanggungjawab untuk membayar semula pinjaman yang telah diberikan.
Selain itu, beliau turut memberi cadangan supaya membuat kajian tentang wanita di Malaysia iaitu kajian berkaitan pengurusan wang di kalangan wanita dan kajian mengenai gaya hidup wanita yang tidak berkerjaya.
Wacana bitara Srikandi ini turut dihadiri Profesor Dato’ Dr. Rahmah Mohamed, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Mohd Fauzi Jani, Pengarah UKM-CESMED, rakan-rakan PKW, peserta Teman 1Azam serta mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia.